Pulau Pinang harap pengoptimuman terminal LTAPP mula tahun ini

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang berharap rancangan pelaksanaan langkah pengoptimuman terminal bagi mengurangkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dapat dipercepatkan.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya berharap usaha itu boleh dimulakan pada tahun ini berikutan kenaikan mendadak jumlah penumpang bagi kepada 1.78 juta orang atau 15.21 peratus pada tahun lalu.

“Kita sedang menantikan berita gembira dari Kementerian Pengangkutan kerana sehingga kini tiada keputusan akhir dibuat berhubung usaha untuk menangani kesesakan di LTAPP sebab sebelum ini, ada rancangan pelaksanaan langkah pengoptimuman terminal tetapi nampaknya sudah melepasi tempoh.

“Oleh itu, kerajaan negeri berharap usaha ini dapat dimulakan selewat-lewatnya dalam tahun ini kerana lapangan terbang amat sesak sekarang. Buat masa ini, kita masih menunggu jawapan dari kerajaan bila projek ini akan dilaksanakan.

“Kerajaan negeri juga ada terima beberapa cadangan tetapi memandangkan LTAPP terletak di bawah kerajaan Pusat, maka kita tunggu keputusan dari kementerian. Kita harapkan, sekurang-kurangnya projek ini boleh dimulakan dengan pembukaan tender,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Menurutnya, dengan pelaksanaan projek pengoptimuman terminal itu, ia dapat menarik perhatian lebih banyak syarikat untuk berurusan di Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata, purata menunjukkan peningkatan dua kali ganda (double-digit growth) penumpang antarabangsa setiap bulan di LTAPP iaitu 1.55 juta pada 2017 berbanding 1.78 juta tahun lalu.

“Pergerakan penumpang mencapai 7.59 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu 7.78 juta pada 2018 berbanding 7.23 juta pada 2017. Pada tahun ini, kita menyasarkan lebih banyak penerbangan terus terutamanya dari negara Asia Timur.

Artikel Berkaitan:

“Pada November 2018, 21.9 peratus iaitu 283 penerbangan terus antarabangsa seminggu direkodkan berbanding tahun 2017 dengan hanya 232 penerbangan,” katanya.

Menurutnya, peningkatan mendadak penumpang antarabangsa di LTAPP adalah disebabkan penerbangan terus antarabangsa yang baharu antaranya dari Hanoi, Phuket dan Jakarta.

“Faktor lain yang meningkatkan penumpang antarabangsa adalah disebabkan Pulau Pinang disenaraikan sebagai lima tempat menarik untuk dilawati selain sebagai 19 negeri termurah untuk dijadikan lokasi percutian,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan melalui Malaysia Airportd Holdings Berhad (MAHB) merancang melaksanakan langkah pengoptimuman terminal bagi mengurangkan kesesakan di LTAPP.

Langkah tersebut yang dijangka siap pada suku kedua tahun hadapan itu melibatkan penempatan semula kaunter tiket, penambahan dan pembesaran bagi kaunter daftar masuk, kaunter Jabatan Imigresen serta mengubahsuai lokasi pengambilan bagasi.