'Apa salahnya jika saya pula yang bantu'

Haalimaton mengambil inisiatif membuat penghantaran makanan percuma kepada golongan memerlukan sepanjang pelaksanaan PKP.
Haalimaton mengambil inisiatif membuat penghantaran makanan percuma kepada golongan memerlukan sepanjang pelaksanaan PKP.
A
A
A

PUCHONG - Seorang wanita mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan percuma kepada golongan memerlukan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Difahamkan, inisiatif penghantaran makanan itu hanya dibuat di sekitar kawasan Puchong dan Subang.

Menurut Haalimaton Saadiah Zaini, 28, dia mula melaksanakan inisiatif itu selepas pihaknya berdepan kesulitan sehari sebelum pelaksanaan PKP di negara ini.

"Sehari sebelum kuarantin, saya berdepan kekangan kewangan namun tiba-tiba ada orang bantu untuk masukkan duit. Saya memang menjalankan perniagaan penghantaran makanan malah turut aktif bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Jadi bermula dari kejadian itu saya terfikir kenapa masa saya susah orang boleh bantu dan apa salahnya jika saya pula yang membantu masyarakat menggunakan platform penghantaran makanan sedia ada ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Haalimaton berkata, dia sendiri menyediakan makanan untuk dihantar kepada golongan memerlukan tersebut dengan menggunakan khidmat empat orang sukarelawan sebagai penghantar.

Katanya, mana-mana golongan kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan perkhidmatan penghantaran makanan boleh berhubung terus dengan pihaknya di talian 017-6231546

"Kami tawarkan perkhidmatan ini sepanjang PKP dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan juga boleh berhubung terus dengan saya menerusi talian berkenaan," katanya.

Selain inisiatif ini, Halimaton berkata, dia juga aktif dalam menyediakan sumbangan makanan kepada pusat tahfiz dan rumah anak yatim menerusi pergerakan NGO.