Benarkan rakyat keluar simpanan KWSP tindakan tidak bertanggungjawab

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari akaun dua sebagai tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu perkara itu dikaji semula kerana dibimbang menjejaskan nilai simpanan tabungan hari tua rakyat negara ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, adalah lebih baik bagi kerajaan membatalkan kutipan cukai pendapatan melalui Potongan Cukai Berjadual (PCB) untuk tempoh selama 12 bulan.

"Saya membaca dengan penuh kebimbangan pengumuman kerajaan bahawa semua pencarum KWSP berumur 55 tahun ke bawah kini dibenarkan mengeluarkan sebanyak RM500 sebulan daripada caruman terkumpul mereka di KWSP untuk tempoh 12 bulan akan datang.

"Adalah tidak bertanggungjawab untuk menyuruh rakyat Malaysia mengeluarkan simpanan KWSP untuk membiayai keperluan mereka kerana ia merupakan satu idea yang akan menjejas masa depan ramai rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Pencarum KWSP dibenar keluarkan wang simpanan Akaun 2

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan inisiatif berkenaan yang dijangka memberi manfaat kepada 14 juta pencarum KWSP.

Beliau turut menganggarkan jumlah pengeluaran berjumlah RM40 bilion dengan permohonan bagi pengeluaran itu akan dibuka bermula 1 April hadapan.

Saifuddin berkata, kerajaan sepatutnya menunjukkan kesediaan berkorban untuk rakyat dalam keadaan krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi negara hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Adalah lebih wajar semua pekerja yang bergaji kurang dari RM10,000 sebulan dikecualikan dari potongan cukai bulanan untuk tempoh 12 bulan akan datang. Ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.

"Tindakan ini akan merangsang kegiatan ekonomi melalui perbelanjaan pengguna. Kesan alir-ke bawah dari pendekatan ini adalah lebih cepat dalam merancakkan aktiviti perniagaan khusus di sektor peruncitan," katanya.

Saifuddin turut menegaskan kira-kira 70 peratus daripada pencarum KWSP mempunyai simpanan yang hanya dapat bertahan untuk tempoh lima tahun sahaja selepas mereka bersara.

"Hasrat di sebalik penubuhan KWSP untuk mewujudkan satu skim tabungan hari tua dan ia bukanlah akaun simpanan seperti di bank yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

"Kini jangka hayat rakyat Malaysia telah mencapai 76 tahun namun jumlah simpanan KWSP sebahagian besar mereka tidak mencukupi untuk menyara kehidupan sehingga ke 76 tahun," katanya.