Covid-19 bukan isu untuk berpolitik: Kon Yeow

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang membidas segelintir pihak yang sengaja mengaitkan pelaksanaan larangan menjaja di negeri ini sebagai isu politik atau perkauman sedangkan negara sedang berdepan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, sekarang bukan masanya untuk berpolitik sebaliknya semua pihak perlu bersama dalam membendung penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Menurutnya, apa yang lebih dikesalkan apabila ada pihak yang cuba mencetuskan rasa tidak senang orang ramai dengan mengaitkan perkara itu dengan isu perkauman.

"Ada segentir pihak yang sengaja mengaitkan isu pelaksanaan larangan menjaja di tepi jalan membabitkan empat pasar di bahagian pulau di negeri sebagai kelemahan pentadbiran Pakatan Harapan.

"Saya menolak sekeras-kerasnya tindakan tersebut kerana sejak awal lagi saya sudah menegaskan yang saya tidak berminat untuk berpolitik dalam isu ini.

"Sebaliknya apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri bertujuan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini," katanya pada sidang akhbar yang dilakukan menerusi FB Live di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Kon Yeow berkata, apa yang berlaku dalam tempoh 24 jam termasuk arahan baharu yang dikeluarkan khususnya oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan semua.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri tidak berbangga sedikit pun walaupun angka kes positif Covid-19 di Pulau Pinang jauh lebih rendah berbanding negeri lain termasuk negeri yang ditadbir oleh kerajaan parti politik yang tidak sama dengan negeri ini.

"Ini bukanlah masa kita membeza-bezakan sesama rakyat Malaysia kerana mangsa Covid-19 di Pulau Pinang ialah orang Malaysia, mangsa di Johor juga orang Malaysia, di Kelantan pun tidak kurang status Malaysia, begitu juga di Sarawak tetap orang Malaysia.

“Maka, hentikanlah tindakan mempolitikkan Covid-19, kita mesti menumpukan sepenuh usaha melawan wabak ini sebagai satu negara dan satu bangsa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memaklumkan keadaan di keempat-empat pasar iaitu Pasar Awam Air Itam, Pasar Awam Bayan Baru, Pasar Awam Jelutong dan Pasar Awam Jalan Perak adalah 90 peratus terkawal.

"Kebanyakan pasar awam di negeri ini telah melaksanakan kaedah pencegahan jarak sosial satu meter dengan meletakkan tanda di lantai," katanya.