Agong sedih, bimbang kakitangan kesihatan dijangkiti Covid-19

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sedih berikutan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan petugas fasiliti kesihatan swasta dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah sangat bimbang dengan perkembangan tersebut memandangkan mereka merupakan petugas barisan hadapan yang mengorbankan masa serta bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab untuk membendung pandemik itu.

“Sehingga 21 Mac lepas, KKM mengesahkan 19 kakitangannya dan lima petugas fasiliti kesihatan swasta telah dijangkiti Covid-19 manakala sehingga tengah hari 23 Mac pula, sebanyak 212 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini naik kepada 1,518 kes.

“Dua daripada 19 kakitangan KKM tersebut sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua mereka merupakan kontak rapat generasi pertama dan kedua melibatkan kluster jemaah tabligh,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda sehubungan itu menitahkan rakyat supaya bersikap jujur kepada petugas KKM mengenai sejarah perjalanan dan kontak mereka bagi membantu pengesanan kontak dan mengadakan tindakan lanjut termasuk rawatan untuk membendung penularan wabak yang boleh meragut nyawa itu.

“Seri Paduka bertitah adalah amat penting untuk kita bersikap jujur ketika saringan kerana maklumat yang tepat ini penting kepada KKM. Ini juga dapat mengelakkan petugas-petugas barisan hadapan KKM tidak dijangkiti,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan setinggi penghargaan kepada semua petugas KKM dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan serta petugas fasiliti kesihatan swasta khususnya di barisan hadapan yang telah mengorbankan masa dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan semangat tinggi. - Bernama

Artikel Berkaitan: