Covid-19: Sarawak peruntuk bantuan RM1.15 bilion

Abang Johari Tun Openg
Abang Johari Tun Openg
A
A
A

KUCHING- Sarawak memperuntukkan RM1.15 bilion di bawah ‘Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang’ bagi mengurangkan kesan kelembapan ekonomi dan kesulitan yang dihadapi rakyat akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dana berkenaan akan disalurkan melalui 16 langkah proaktif terutama kepada barisan hadapan, isi rumah dan komuniti perniagaan yang amat memerlukan sokongan ketika ini.

"Ia adalah langkah proaktif oleh GPS (Gabungan Parti Sarawak) untuk kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Langkah berkenaan termasuk diskaun bil elektrik untuk kegunaan domestik, komersial dan pengguna industri sebanyak lima hingga 25 peratus bagi tempoh April hingga September tahun ini, yang akan memberi manfaat kepada 686,847 pengguna seluruh Sarawak.

"Diskaun 10 hingga 25 peratus terhadap bil air bulanan juga diberikan kepada pengguna domestik, komersial, dan industri bagi tempoh yang sama. Diskaun secara 'one-off' ini akan memberi manfaat kepada 568,247 pengguna di seluruh negeri, " katanya.

Abang Johari turut mengumumkan insentif khas bulanan RM300 selama enam bulan bermula April kepada 6,232 doktor perubatan, jururawat dan kakitangan perubatan yang bekerja keras di hospital dan klinik seluruh Sarawak.

Insentif khas bulanan sebanyak RM200 juga akan diberikan kepada 535 anggota jabatan imigresen dalam tempoh yang sama atas khidmat mereka menjaga pintu masuk seluruh negeri, 3,395 anggota polis dan kakitangan bilik operasi negeri, 590 anggota Angkatan Tentera dan 590 anggota RELA.

"Diskaun sebanyak 50 peratus juga diberikan bagi sewa ruang niaga dan gerai-gerai selama enam bulan sehingga September 2020 yang dijangka memberi manfaat kepada 10,000 penjaja di bawah kelolaan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata kerajaan negeri akan memberi pengecualian ke atas yuran permit dan lesen peniaga serta penjaja pasar malam, tamu dan bazar Ramadan, di samping diskaun 25 peratus terhadap kadar penilaian tahunan yang melebihi RM400 ke atas untuk perumahan, komersial, industri dan syarikat tujuan khas bagi 2020.

"Sebagai langkah membantu PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) terhadap aliran tunai dan mengurangkan bebanan kewangan mereka, Kerajaan Sarawak memutuskan untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman selama sembilan bulan berkuat kuasa April 2020,” katanya.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri juga mengarahkan dua juta penutup hidung dan mulut diedarkan kepada rakyat menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. Kerajaan juga akan mendapatkan peralatan perlindungan peribadi (PPE), makanan dan lain-lain bekalan untuk petugas barisan hadapan yang terlibat dalam menjalankan ujian, mendiagnosis dan merawat pesakit berisiko COVID-19.

Langkah-langkah lain yang diumumkan termasuk pertambahan skim kredit mikro sebanyak RM20 bilion untuk PKS bagi mengembangkan dan mengekalkan perniagaan mereka, 30 peratus diskaun untuk sewa tanah, penangguhan premium tanah tahun ini, pengecualian yuran lesen hotel dan rumah penginapan serta 50 peratus diskaun selama enam bulan terhadap skim perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan Negeri.

"Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang ini model yang mengimbangi antara rakyat dan perniagaan bagi mengurangkan impak kelembapan ekonomi akibat wabak Covid-19.

"Kerajaan GPS turut merasai kesusahan yang dialami oleh rakyat ketika ini (dan) kita juga tidak tahu bila wabak ini akan berakhir namun marilah kita mengharunginya bersama-sama,” katanya.-Bernama