33 juta bekalan PPE untuk tampung keperluan: Noor Hisham

Dr Noor Hisham semasa sidang media harian berkenaan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham semasa sidang media harian berkenaan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya mendapatkan bekalan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) sebanyak 33 juta bagi menampung keperluan di seluruh fasiliti kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bekalan PPE tersebut akan diedarkan pada minggu ini.

"KKM maklum bahawa isu kekurangan bekalan PPE kini merupakan satu isu global dan kementerian sedaya-upaya memberi keselamatan terhadap petugas kesihatan," katanya.

Menurutnya, KKM turut menerima sumbangan 3 juta PPE daripada pelbagai pihak.

"KKM merakamkan jutaan terima kasih atas sumbangan itu," katanya.

Pada perkembangan sama beliau berkata, topeng muka hanya boleh digunakan sehingga lapan jam sahaja.

"Kamu tidak boleh diguna semula mask berkenaan kerana ia hanya untuk sekali guna sahaja," katanya.

Sementara itu, KKM menyasarkan 2,000 petugas kesihatan sama ada yang telah pencen untuk kembali bertugas membantu kementerian menangani wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sedang merangka pelan bagi perancangan tersebut.

"Jumlah 2,000 itu termasuk pakar perubatan yang telah bersara, jururawat, dan pelatih graduan perubatan," katanya.

Menurutnya, kementerian juga sedang meneliti kontrak pegawai perubatan.

"Kita dalam proses melihat kembali, graduan perubatan kita perlu latih terlebih dahulu.

"Apa yang penting, jururawat dan pakar yang bersara memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing," katanya.

Pada 17 Mac lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, KKM sedang berusaha menambah 830 jururawat bagi menampung kapasiti di 135 hospital.