Paras empangan air semakin meningkat

Sulaiman ditemui selepas Program Menyantuni dan Penyampaian Bantuan UMNO negeri kepada Petugas Polis Melaka dan Tentera di Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) di Bukit Beruang di sini, hari ini.
Sulaiman ditemui selepas Program Menyantuni dan Penyampaian Bantuan UMNO negeri kepada Petugas Polis Melaka dan Tentera di Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) di Bukit Beruang di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kesengsaraan rakyat negeri ini yang berdepan dengan catuan air sejak akhir Januari lalu bakal berakhir jika paras air di empangan utama di Durian Tunggal melepasi bacaan 60 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, setakat ini paras empangan belum sampai ke tahap yang membolehkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) menghentikan bekalan air secara berjadual.

Menurutnya, hujan beberapa hari menunjukkan peningkatan di setiap empangan dan jika berterusan

rakyat tidak perlu lagi bekalan air berjadual.

"Kita tidak ada sumber air semula jadi, maka kolam tadahan ini memerlukan taburan hujan dan hanya berbekalkan hujan yang dapat meningkatkan paras empangan selain mengepam air dari Sungai Gersik, Muar," katanya selepas Program Menyantuni dan Penyampaian Bantuan UMNO negeri kepada Petugas Polis Melaka dan Tentera di Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) di Bukit Beruang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, beliau pernah mencadangkan untuk menghentikan bekalan ari berjadual sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun tidak dapat berbuat demikian disebabkan paras air empangan masih di bawah 60 peratus.

"Saya minta rakyat bersabar dan terus berdoa supaya kita dapat mengurangkan bekalan air berjadual sebelum Ramadan ini," katanya.

Berdasarkan rekod, setakat tengah hari tadi paras air di Empangan Durian Tunggal mencatatkan bacaan 27.3 peratus (8,420 juta liter) manakala paras air di Empangan Jus 22.4 peratus (9,700 juta liter) dan bacaan air di Empangan Asahan 64.9 peratus(452 juta liter).

Artikel Berkaitan:

Jelas Sulaiman, graf peratusan itu menunjukkan peningkatan memuaskan berbanding minggu lalu paras air di Empangan Durian Tunggal di bawah bacaan 20 peratus.

"Kita berharap peningkatan paras air di empangan dan kolam tadahan air terus meningkat bagi membolehkan bekalan 600 juta liter air sehari dapat disalurkan seperti biasa tanpa membuat bekalan air berjadual," katanya.

Sebelum ini Melaka melaksanakan catuan bekalan air berjadual secara harian bermula 29 Januari lalu dengan membabitkan 550,673 pengguna di negeri ini terjejas.