Covid-19: Thailand sahkan 122 kes baharu

Sebanyak 122 kes positif Covid-19 baharu dilaporkan di Thailand menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu di negara tersebut setakat ini ialah 721.
Sebanyak 122 kes positif Covid-19 baharu dilaporkan di Thailand menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu di negara tersebut setakat ini ialah 721.
A
A
A

BANGKOK - Thailand mengesahkan 122 kes positif koronavirus (Covid-19) yang baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu di negara tersebut setakat ini ialah 721.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Awam, Thaweesilp Wissanuyothin berkata, 20 daripada kes baharu itu dikaitkan dengan jangkitan sebelum ini termasuk 16 kontak rapat pesakit yang telah disahkan positif manakala empat lagi adalah pengunjung stadium tinju di Nonthaburi dan Nakhon Pathom.

Beliau berkata, 10 kes baharu membabitkan empat individu yang melakukan perjalanan ke luar negara manakala enam bekerja di kawasan sesak dan mempunyai kontak dengan warga asing.

“Sejumlah 92 kes lagi terdiri daripada pesakit dalam siasatan bagi sumber jangkitan.

“Terdapat peningkatan drastik kes Covid-19 di wilayah-wilayah lain di luar Bangkok apabila ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing susulan penutupan venue-venue utama seperti pusat membeli-belah, pusat hiburan dan arena sukan di ibu negara Thailand mulai semalam sehingga 12 April.

“Selain itu, peningkatan ketara dalam ujian bagi Covid-19 di negara ini turut menyumbang kepada jumlah kes yang semakin melonjak,” katanya dalam taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Setakat ini, Thailand melaporkan satu kematian manakala 52 pesakit telah dibenarkan pulang sementara 668 masih menerima rawatan di hospital dengan tujuh daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Mahidol Profesor Dr Prasit Watanapa memberi amaran bahawa jumlah kes Covid-19 di Thailand boleh mencecah 350,000 dan mencatat 7,000 kematian menjelang 15 April jika bilangan kes baharu meningkat lebih 20 peratus setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, jumlah kes Covid-19 di Thailand meningkat sebanyak 33 peratus setiap hari, lapor Bangkok Post yang memetik kenyataan beliau.

Prasit berkata, jika jumlah pesakit dalam keadaan kritikal mencecah 17,000 orang, ia akan menenggelami sumber perubatan negara itu.

“Peningkatan kes tempatan hendaklah dihadkan kepada 20 peratus atau 32.7 kes baharu setiap hari.

“Bagi mencapai perkara ini, orang ramai perlu duduk di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial. Kita perlu mengamalkan penjarakan sosial dan bilangan kes baharu akan mula berkurangan dalam tempoh empat minggu,” katanya.

Beliau menganggarkan penularan wabak itu akan berterusan selama sembilan bulan di Thailand. - Bernama