Gali harta warisan satu kesalahan - Polis

Aktiviti penggalian harta warisan tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan.
Aktiviti penggalian harta warisan tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebarang pencarian harta warisan perlu mendapat kelulusan Jabatan Warisan Negara kerana tertakluk kepada perundangan negara.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mereka yang menjalankan kegiatan berkaitan perlu merujuk kepada pihak berkaitan bagi memastikan tindakan tidak menyalahi undang-undang.

Menurutnya, pencarian harta warisan tertakluk di bawah Seksyen 86 Akta Warisan Kebangsaan 2005 iaitu penggalian objek warisan walaupun kawasan penggalian merupakan tanah milik persendirian atau kerajaan.

Anggota bomba melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamatkan di lokasi tanah runtuh.
Anggota bomba melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamatkan di lokasi tanah runtuh.

"Ia tertakluk kepada Akta Warisan Kebangsaan iaitu jika didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya ketika operasi mencari dan menyelamatkan di kaki Gunung Jerai di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Mangsa tertimbus dipercayai pencari emas

Adzli berkata, hasil temubual bersama rakan mangsa memaklumkan bahawa lokasi tanah runtuh dipercayai mempunyai harta karun berbentuk jongkong emas dan bernilai berbilion ringgit.

"Kedua-dua mangsa bersama lima yang lain memulakan semula pencarian emas di kawasan tersebut sejak pertengahan Februari lalu apabila usaha awal sejak 10 tahun lalu bagi menggali emas di kawasan itu terhenti.

"Ketika kejadian hanya dua mangsa itu sahaja yang berada di lokasi namun apabila rakan lain tiba mereka dapati kedua-duanya dipercayai tertimbus berdasarkan keadaan tanah yang telah runtuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lokasi penggalian dua mangsa ditemui tertimbus akibat tanah runtuh ketika melakukan kerja-kerja pencarian emas di kaki Gunung Jerai.
Lokasi penggalian dua mangsa ditemui tertimbus akibat tanah runtuh ketika melakukan kerja-kerja pencarian emas di kaki Gunung Jerai.

Menurut Adzli, semakan dengan Jabatan Perhutanan mendapati tanah di lokasi itu adalah milik persendirian di mana kedudukan sebenar lokasi kira-kira dua kilometer dari kaki Gunung Jerai selain berada di luar kawasan hutan simpan negara.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati keadaan kawasan penggalian sangat curam dan berada di kaki bukit pada kedalaman yang telah dikorek melebihi 10 meter.

Mayat pertama ditemui pada jam 10.49 pagi dan mayat kedua pada 12.53 tengah hari telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat.



[ARTIKEL BERKAITAN] - Tanah runtuh: Dua individu dikhuatiri tertimbus