Pelajar bermasalah hisap rokok seludup: iGuru

MOHD AZIZEE
A
A

KEWUJUDAN rokok seludup dan 'vape' yang berleluasa di negara ini antara punca menyuburkan budaya merokok dalam kalangan pelajar sekolah hingga menyukarkan usaha mencegahnya.

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, tidak dinafikan tabiat merokok kebiasaannya dikaitkan dengan pelajar bermasalah di sekolah.

"Ini kerana ada pelajar beranggapan merokok dapat mengurangkan tekanan masalah selain trend masa kini untuk menunjukkan rasa ’macho’ melalui tabiat merokok serta rasa ingin mencuba yang tinggi di kalangan pelajar," katanya.

Azizee berkata, ada pelajar yang berani merokok dalam kawasan sekolah apatah lagi ketika di luar kawasan sekolah selepas tamat waktu persekolahan.

"Faktor kelemahan pemantauan ibu bapa juga menyebabkan tabiat merokok dalam kalangan pelajar sukar dibendung. Hari ini dengan wujudnya rokok tiruan atau ‘vape’, rokok seludup ia secara tak langsung menyuburkan budaya merokok dalam kalangan pelajar,' katanya.

Tambah beliau, institusi keluarga penting bagi membentuk jati diri anak-anak di peringkat kanak-kanak dalam usaha menghalang budaya merokok ini berterusan.

Dari segi pihak sekolah pula penguatkuasaan dan disiplin yang tegas berkaitan kesalahan merokok perlu diamalkan.

"Kolaborasi antara pihak sekolah dan PIBG penting untuk menangani isu ini seperti mengadakan kempen kesedaran 'say no vape', klinik kesedaran hidup sihat serta jaringan dengan agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan, Jabatan Agama dan Pejabat Mufti yang mengeluarkan fatwa pengharaman merokok.

"Sekolah juga boleh mengadakan hubungan kerjasama dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan atau gerakan anti rokok untuk mengatasi gejala ini sekali gus mengurangkan beban sekolah," katanya.

Menurutnya, isu merokok menjadi isu disiplin pelajar sekolah dan membimbangkan warga guru serta menjadi cabaran besar di sekolah terutama di sekolah harian.

"Latar belakang keluarga dan pengaruh rakan sebaya mempengaruhi tabiat merokok di kalangan pelajar di sekolah. Apabila mereka sudah ada geng 'satu kepala', mereka akan membentuk komuniti tersendiri.

"Justeru gejala pelajar sekolah merokok perlu ditangani segera memandangkan masalah itu mengundang kepada masalah salah laku disiplin lain," katanya.