Kerajaan perlu lebih tegas laksana kawalan pergerakan: Mufti Pahang

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan perlu melaksanakan tindakan lebih tegas supaya masyarakat di negeri ini lebih patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19)

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, masih ramai yang dilihat berlegar-legar di lokasi awam seperti pasar raya dan kedai serbaneka tanpa perasaan bimbang yang tinggi.

"Kita sepatutnya bersyukur negara tidak ditimpa ujian (peperangan) seperti di Turki. Kita masih boleh keluar membeli makanan namun saya lihat orang ramai pergi ke pasar raya seperti biasa. Sepatutnya tidak boleh begitu.

"Berpandu hadis Rasulullah (ketika zaman baginda) ada wabak taun.. kita tidak boleh pergi ke tempat itu dan tidak boleh keluar dari tempat itu. Tindakan tegas menjadikan wabak itu tidak merebak.

"Begitu yang berlaku sekarang. Umat Islam seharusnya mencontohi zaman Rasulullah. Akur dengan perintah kerajaan untuk berada di rumah. Jangan buat lebih kurang. Jangan bersikap tidak ambil tahu atau buat biasa kerana sikap ini sangat berbahaya kepada kita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Abdul Rahman berkata, rakyat perlu jaga diri dan kawal pergerakan bersungguh-sungguh dan umat Islam mesti saling membantu jiran tetangga khususnya saudara seagama.

"Al-Quran menyuruh umat Islam membantu ke arah satu perkara yang lebih baik. Bantu orang yang susah dan yang tiada pekerjaan. Bantu saudara kita yang tidak berkemampuan dan terjejas. Itu kita kena ambil perhatian.

"Apa yang berlaku hari ini adalah ujian kepada orang beriman kepada ALLAH S.W.T. Orang Islam yang diuji kemungkinan dihapuskan dosanya bagi setiap musibah. Umat Islam yang terkena musibah ini bukan bermakna ALLAH benci tapi sayang.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini supaya kita sedar, insaf dan muhasabah diri kemudian kita menambahkan amal soleh. Sesiapa yang bersyukur kepada ALLAH.. ALLAH tambah lagi rezekinya, kalau tidak ALAH beri seksaan yang berat," katanya.

Beliau turut berkata, masyarakat yang terjejas boleh membuat permohonan zakat menerusi talian ezakat.muip.gov.my.