Kerajaan larang eksport topeng muka

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut hadir Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustafa Mohamed. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut hadir Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustafa Mohamed. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan telah melarang eksport semua topeng muka yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan bagi memastikan bekalannya mencukupi untuk rakyat Malaysia sepanjang tempoh pandemik koronavirus (Covid-19), kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Setakat ini bekalan topeng muka belum lagi sampai ke tahap yang memuaskan dan kita telah mengambil keputusan untuk mengimportnya daripada China,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sini.

Menurut Muhyiddin, syarikat-syarikat tempatan mengalami kesukaran untuk mengeluarkan topeng muka yang secukupnya berikutan kekurangan bahan mentah.

Sebelum ini, kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah mengumumkan sebanyak 10 juta topeng muka akan diimport secara berperingkat yang akan diselaraskan oleh Kementerian Pengangkutan.

Laporan sebelum ini turut memetik Menteri Kanan, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai berkata, pengagihan topeng muka itu akan diutamakan kepada petugas barisan hadapan di peringkat kebangsaan atau negeri seperti kakitangan Kementerian Kesihatan, anggota polis, imigresen dan tentera.

Mengulas perkara itu, Muhyiddin berkata: “Saya diberitahu bahawa penutup hidung dan mulut ini akan dibawa masuk dengan harga lebih kurang RM1.18 sekeping dan kita akan agihkannya secara percuma kepada semua yang memerlukan.

“Ini merupakan sumbangan kerajaan di waktu krisis yang sedang kita hadapi pada waktu ini.

Pada sidang media sama, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa inisiatif susulan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi atau EAC itu bagi meringankan mereka yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun membuat pengeluaran daripada Akaun 2 masing-masing masing-masing, tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk selama 12 bulan bermula 1 April depan.

Inisiatif pengeluaran i-Lestari itu dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP dan membabitkan pengeluaran yang dianggarkan berjumlah RM40 bilion.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga bersetuju memberi lanjutan masa daripada tiga bulan kepada enam bulan membabitkan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam.

Selain itu, kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan untuk menyokong usaha menangani Covid-19 termasuk pengambilan kakitangan baharu secara kontrak terutamanya jururawat.

Dalam pada itu, peruntukan sebanyak RM130 juta akan turut disalurkan kepada negeri-negeri bagi membantu kerajaan negeri menangani krisis Covid-19 berkenaan. - Bernama