MyPPP dibatalkan, Kayveas akan rayu

Tan Sri M Kayveas
Tan Sri M Kayveas
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) akan merayu kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan keputusan pembatalan pendaftaran parti itu.

Presidennya, Tan Sri M Kayveas berkata, pihaknya mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan tersebut.

"Saya dapat tahu pembatalan itu melalui sosial media dan saya telah sahkan dengan pihak parti bahawa kami menerima emel daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Cameron Highlands: Kayveas tarik diri bertanding]

"Saya belum terima 'hard copy' lagi dan kita ada 30 hari untuk buat rayuan kepada menteri," katanya pada sidang media di pejabatnya di Tanah Rata, sebentar tadi.

Menurutnya, beliau akan membawa perkara tersebut ke mahkamah sekiranya keputusan menteri tidak memihak kepada parti yang berusia 66 tahun itu.

Ketika ditanya soal masa depan parti dan ahli sekiranya keputusan menteri atau mahkamah tidak memihak kepada mereka, beliau akui ia keputusan berat dan memerlukan perbincangan dalam mesyuarat agung luar biasa.

RoS dilaporkan telah mengeluarkan notis merah pembatalan pendaftaran MyPPP berkuatkuasa hari ini.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 keputusan tersebut boleh dirayu dalam tempoh 30 hari.

Sebelum PRU14 lalu, parti itu berdepan krisis kepimpinan apabila Maglin D' Cruz turut mengaku sebagai presiden parti.

Selepas PRU14, Kayveas mengumumkan MyPPP keluar BN dan Sabtu lalu beliau menyatakan sokongan kepada PH sementara Maglin menyatakan parti itu mesra BN.

Dalam pada itu, Kayveas mendakwa usaha merampas jawatannya oleh sekumpulan ahli parti itu disokong oleh BN.

"BN 'backed them'. Ini hukuman saya sebab nak keluar BN. BN tak gembira, mereka mahu pecat saya dan lantik presiden baharu.

"Mereka bincang untuk memecat saya melalui mesyuarat di tengah malam bukan melalui mesyuarar agung atau pemilihan. Ini ikut Perlembagaan parti," katanya.

Beliau sempat menegaskan tidak akan menyertai PH meskipun menyatakan sokongan kepada kerajaan pada hari penamaan calon PRK Cameron Highlands.