PM pengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi yang membincangkan secara terperinci mengenai situasi terkini kewangan negara.

Beliau berkata, ini termasuklah penurunan mendadak harga minyak mentah dunia dan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi dan kedudukan semasa kewangan negara.

“Saya sedar pada waktu ini antara perkara utama yang sedang bermain di fikiran sebahagian besar rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah ialah bagaimana untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya pada sidang media di sini hari ini yang disiarkan secara langsung oleh televisyen dan media sosial.

Ini termasuklah peniaga-peniaga kecil yang terpaksa tutup kedai, pemandu teksi dan Grab kehilangan pelanggan, pekerja bergaji harian tidak menerima gaji, malah para majikan pun ramai yang menanggung kerugian kerana perusahaan dan perniagaan mereka terpaksa ditutup buat sementara waktu.

Muhyiddin menarik perhatian oleh sebab itu, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada hari ini telah memutuskan beberapa inisiatif utama yang diharap dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung mereka ketika melalui waktu yang sukar ini.

Menurutnya, inisiatif-inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif yang akan beliau umumkan dalam masa terdekat.

Inisiatif-inisiatif yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada hari ini ialah:

Kemudahan pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk 12 juta ahli KWSP berjumlah RM40 bilion mulai 1 April.

Artikel Berkaitan:

Peruntukan tambahan RM500 juta akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani gejala wabak Covid-19 dan RM100 juta untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak terutamanya jururawat.

Kerajaan setuju salurkan peruntukan RM130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu kerajaan negeri tangani krisis Covid-19.

Penangguhan bayaran balik PTPTN melibatkan kutipan RM750 juta.

Muhyiddin berkata, selain daripada inisiatif-inisiatif tersebut, kerajaan juga sedang mengkaji langkah-langkah tambahan untuk membantu rakyat menghadapi keadaan yang agak sukar pada waktu ini.

Jelasnya, langkah-langkah komprehensif sedang diteliti Kementerian Kewangan yang akan mengambil kira kepentingan setiap kelompok masyarakat di negara ini.

“Sama ada anda peniaga kecil, pemandu teksi, petani, nelayan, penternak, pekerja kilang, kakitangan swasta, kakitangan kerajaan, semuanya akan diberi perhatian oleh kerajaan. insya-ALLAH, jika diizinkan oleh ALLAH SWT saya akan umumkan Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif pada 30 Mac 2020,” katanya.

Muhyiddin berkata, kesemua langkah yang bakal diumumkan nanti akan mengambil kira usaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara dalam jangka masa sederhana.

“Saya berharap dengan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan, kehidupan saudara-saudari akan lebih terjamin dan ekonomi negara kita juga akan kekal kukuh,” katanya.

Menurutnya, dalam situasi krisis yang sedang melanda negara pada waktu ini, apa yang paling penting adalah setiap pihak hendaklah sentiasa bermuafakat, berganding bahu dan cekal dalam mencari penyelesaian kepada setiap masalah yang sedang hadapi. - Bernama