Lawatan TPM akan perkukuh hubungan Malaysia-Qatar

Duta Besar Malaysia ke Negeri Qatar, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin semasa sidang akhbar dengan wartawan Malaysia mengenai lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Doha. - Foto Bernama
Duta Besar Malaysia ke Negeri Qatar, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin semasa sidang akhbar dengan wartawan Malaysia mengenai lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Doha. - Foto Bernama
A
A
A
DOHA – QATAR. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menyampaikan ucapan di Qatar University di sini semasa melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Qatar, sekali gus menjadi pemimpin wanita pertama Malaysia yang berucap di universiti itu.

Duta Besar Malaysia di Qatar Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Dr Wan Azizah diundang Presiden Qatar University Prof Dr Hassan Rashid Al Derham untuk memberi ucapan di Dewan Ibn Khaldoon universiti berprestij itu pada 25 November.

Katanya, Presiden Turki Recep Tayyib Erdogan merupakan pemimpin asing terakhir yang memberi ucapan di universiti berkenaan sebelum ini iaitu pada 2015.

“Ia merupakan suatu penghormatan dan pengiktirafan tinggi terhadap timbalan perdana menteri kita apabila beliau diundang untuk menyampaikan ucapan di universiti Qatar yang berprestij itu,” katanya kepada media Malaysia di sini pada Jumaat.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, akan memulakan lawatan rasmi ke Qatar pada 25 November, lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini setelah dilantik menganggotai Kabinet pada 21 Mei berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14.

Ahmad Fadil berkata beliau percaya hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar yang kini berada pada tahap tertinggi, akan menjadi lebih kukuh dengan lawatan Dr Wan Azizah itu.

“Lawatan ini dijangka meningkatkan lagi hubungan Malaysia-Qatar, terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pembangunan wanita dan masyarakat, pencegahan rasuah, di samping memupuk hubungan peribadi dengan para pemimpin Qatar,” katanya.

Beliau berkata semasa lawatan itu, timbalan perdana menteri dijadual menghadap Amir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri Sheikh Abdullah bin Nasser bin Khalifa Al Thani; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan Dr Khalid Mohammed Al Attiyah; dan Menteri Kesihatan Dr Hanan Al Kuwari.

Menurut Ahmad Fadil, Dr Wan Azizah juga dijadual mengetuai delegasi Malaysia pada mesyuarat meja bulat dengan para pemimpin industri, yang akan turut disertai anggota Persatuan Ahli Perniagaan Qatar, Dewan Perniagaan Qatar dan anak syarikat Qatar Investment Authority.
Artikel Berkaitan:


Qatar adalah rakan niaga kelima terbesar, destinasi eksport kelapan terbesar dan sumber import ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Timur Tengah, dengan eksport berjumlah AS$0.76 bilion pada 2017 dan import berjumlah US$2.12 bilion.

Dr Wan Azizah juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan naib pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Yayasan Pendidikan Sains dan Pembangunan Masyarakat Qatar Sheikha Hind Bint Hamad Al Thani.

“Ketika ini, yayasan itu menaja beberapa pelajar Malaysia yang menuntut di Hamad Bin Khalifa University dan kami berharap lebih banyak peluang dalam bentuk biasiswa dan program pertukaran bagi pelajar Malaysia akan diadakan dengan yayasan itu,” kata Ahmad Fadil.

Beliau berkata Dr Wan Azizah juga akan menjadi hos pada majlis jamuan malam bagi diaspora Malaysia di Qatar pada Isnin.

Kira-kira 5,000 rakyat Malaysia kini tinggal di Qatar, kebanyakan mereka merupakan tenaga profesional dan separa profesional yang bertugas dengan syarikat Qatar atau syarikat antarabangsa yang terlibat dengan industri hidrokarbon dan perkhidmatan.

Ahmad Fadil berkata berhubung pelaksanaan projek kemanusiaan untuk pelarian Rohingya di Malaysia, timbalan perdana menteri juga dijadual mengadakan perbincangan dengan Sheikha Hind, yang juga ketua pengarah Tabung Pembangunan Qatar.

“Perbincangan itu bertujuan meningkatkan usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelarian Rohingya di Malaysia melalui sokongan kewangan daripada Tabung Pembangunan Qatar Development Fund,” kata beliau. – Bernama