Sokong PKP, perkemas usaha supaya objektif tercapai

Gambar kecil: Wan Mahmood Pa'Wan Teh
Gambar kecil: Wan Mahmood Pa'Wan Teh
A
A
A

GOMBAK - Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia menyokong sepenuhnya usaha kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan penularan koronavirus (Covid-19).

Presidennya, Tan Sri Wan Mahmood Pa'Wan Teh berkata, langkah kerajaan itu mengurangkan risiko orang awam khususnya warga emas yang terdedah kepada wabak itu.

Menurutnya, berdasarkan statistik dunia menunjukkan pesakit Covid-19 terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

"Statistik kematian di Itali menunjukkan bilangan besar mangsa Covid-19 terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas.

"Persatuan mewakili 70,000 ahli di seluruh tanah air menyokong langkah kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19 melalui kuarantin 14 hari di rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, usaha baik itu perlu diperkemaskan dan perlu mendapat kerjasama daripada semua pihak termasuk kerajaan dan juga rakyat.

"Tempias daripada penularan wabak daripada perhimpunan tabligh Masjid Sri Petaling bukan dirasai dalam negara, tetapi sampai ke negara jiran seperti Singapura dan Brunei yang dapat ditangani dengan baik oleh negara tersebut.

"Di Malaysia pula ia berkembang menjadi masalah besar sehinggakan mereka yang hadir perjumpaan itu masih bebas berkeliaran dan bergaul dengan orang awam sekali gus dengan tidak sengaja merebak kepada pihak ketiga dan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan pula tidak dijalankan dengan cara kemas menyebabkan rakyat menganggap ia sebagai peluang pulang ke kampung. Secara tidak sengaja mereka telah mendedahkan orang tua di kampung dengan wabak itu," katanya.

Katanya, tidak wajar saling menuding jari dalam keadaan kecemasan seperti ini dan Covid-19 tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

"Inilah masanya kita perlu berganding bahu bersama-sama menyelamatkan negara dan rakyat daripada Covid-19.

"Marilah bersama-sama menghadapi keadaan yang sangat mencabar ini. Kita tak payah bersusah-payah mencari formula, kita contohi China yang menggunakan disiplin tegas yang dipatuhi lapisan masyarakat termasuk amalan penjarakan sosial dan kebersihan," katanya.