ATM turun padang bukan sebab darurat!

Gambar hiasan. - Foto Siti Zubaidah Zakaraya
Gambar hiasan. - Foto Siti Zubaidah Zakaraya
A
A
A

SEJAK Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu, ada yang masih terpinga-pinga.

Masih ramai yang tidak ikut arahan. Keluar rumah macam biasa, lepak kedai makan macam tak ada apa-apa.

Paling melampau, ada yang buat kenduri sambil membuat rakaman video seolah-olah mencabar pihak berkuasa.

Kenapa sampai begitu? Kenapa susah sangat nak ikut arahan? Susah sangatkah nak duduk di rumah?

Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan ini bersebab iaitu untuk mengelakkan penyebaran koronavirus (Covid-19).

Apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan operasi pemantauan, mungkin ramai yang masih berdegil.

Tapi sejak semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula dikerahkan ke seluruh negara untuk memantau dan memastikan orang awam patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

Peliknya, netizen yang ‘palatau’ mengaitkan pula pembabitan tentera kononnya kerajaan akan mengumumkan darurat atau lockdown.

Artikel Berkaitan:

Disebarkan pula gambar dan video aset-aset ATM yang dikerahkan ke seluruh negara di media sosial.

Ada pula yang menyebarkan rakaman audio daripada ‘seseorang’ kononnya anggota tentera dibenarkan melakukan kekerasan kepada orang awam yang ingkar dengan arahan kawalan pergerakan.

Perbuatan seperti itu sangat tidak bertanggungjawab. Apatah lagi dengan adanya media sosial, maka maklumat tidak sahih itu akan begitu mudah tersebar. Sikap itu tidak membantu membaiki keadaan, malah menyebabkan rakyat bertambah panik.

Dalam sidang akhbar baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan angkatan tentera dikerahkan ke lapangan untuk membantu PDRM, bukan kerana darurat.

Apabila arahan polis pun tidak diendahkan, mungkin dengan menggunakan angkatan tentera boleh menyebabkan orang awam ‘ketar lutut’.

Ketika artikel ini ditulis, kematian disebabkan Covid-19 sudah mencecah sepuluh orang, namun begitu, pujian sepatutnya diberikan kepada pihak kerajaan yang melakukan langkah drastik dalam mencegah wabak ini daripada terus merebak.

Cuba anda bayangkan sekiranya Perdana Menteri lambat mengumumkan perintah kawalan ini? Mungkin angka individu yang dijangkiti Covid-19 akan bertambah, malah jumlah kematian juga mungkin akan meningkat.

Walaupun ada individu-individu tertentu yang mempertikaikan kononnya kerajaan lambat bertindak, namun perintah kawalan itu adalah yang terbaik buat masa ini.

Justeru, kita perlu ikut arahan dan duduk sahaja di rumah. Stay at home! Tidak lama, hanya 14 hari. Sekiranya virus ini tidak dikawal, mungkin kerajaan akan mengumumkan lockdown dalam tempoh yang lebih lama.

Ketika itu mampukah kita duduk di rumah selama 40 hari seperti di China?

Jika tidak dibendung kemungkinan negara bakal menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi jika rakyat mempunyai sikap tidak kisah.

“Tidak perlu keluar ke mana-mana, dengan cara ini anda terhindar daripada jangkitan Covid-19 dan penularan wabak ini insya-ALLAH dapat dibendung,” rayu Perdana Menteri dalam perutusan khas yang disiarkan di televisyen minggu lepas.

Apa yang kita perlu lakukan sekarang ialah tumpukan perhatian terhadap penyelesaian masalah Covid-19 ini dahulu.

Duduk di rumah bagi meredakan keadaan, biar kerajaan hapuskan atau tenangkan keadaan dengan sebaik-baiknya.

Pada masa yang sama, komunikasi pihak kerajaan atau pihak berkuasa perlu diperbaiki lagi. Rakyat tidak mahu lagi berlaku salah faham seperti mana yang berlaku ketika arahan mengisi borang untuk balik ke kampung minggu lalu.

Oleh itu, komunikasi di setiap kementerian dengan Majlis Keselamatan Negara seharusnya selari untuk mengelakkan salah faham rakyat.

Sekiranya perkara ini berterusan berlaku ia berkemungkinan akan mendatangkan situasi yang lebih buruk kepada negara.

* Nurul Sa’adah Latib ialah Penolong Penerbit Video Digital Sinar Harian Online