Perbaiki kecelaruan komunikasi

A
A
A

SEPERTI yang kita tahu, baru-baru ini kerajaan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perintah ini pertama kali diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Isnin, 16 Mac 2020.

Semasa ucapan beliau, Muhyiddin memaklumkan bahawa antara butiran PKP tersebut adalah “...larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.”

Ucapan ini tidak memberikan perincian mengenai PKP tersebut. Oleh itu, terdapatnya kekeliruan tentang ciri-ciri PKP.

Tidak ada dinyatakan tentang pergerakan ke luar rumah seperti bersenam, lawat ibu bapa dan sebagainya. Tidak ada perkataan “jangan keluar rumah tanpa sebab” contohnya.

Rakyat menganggap bahawa kedai dan pejabat akan tutup tetapi masih boleh keluar. Boleh pergi joging atau lawat ibu bapa. Boleh balik kampung. Juga tidak dinyatakan tentang sekatan rentas negeri.

Pada Selasa, 17 Mac 2020 pada lewat pagi, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta harus balik ke kediaman masing-masing.

Ada juga IPTA yang mengeluarkan arahan tersebut. Maka pelajar-pelajar pun buat perancangan untuk balik ke kampung halaman.

Pada masa yang sama, tiada arahan jelas daripada pihak kerajaan bahawa jangan balik kampung atau jangan keluar rumah. Jadi ada yang menganggap bahawa oleh kerana semua premis tutup maka mereka ambil kesempatan balik ke kampung. Tidak ada arahan jelas untuk keluar wilayah.

Artikel Berkaitan:

Pada sebelah petang hari yang sama, Ketua Polis Negara memaklumkan dalam sidang media bahawa perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan. Kalau mahu merentas negeri, perlu isi borang kebenaran.

Kemudian Kementerian Pengajian Tinggi keluarkan kenyataan bahawa IPTA dan IPTS harus menyediakan tempat penginapan untuk pelajar sepanjang tempoh. Tetapi masih tidak ada mesej jelas: 'jangan bergerak'.

Atas sebab-sebab itu, rakyat pun berpusu ke balai polis untuk mendapatkan borang dan kebenaran. Ini menyusahkan pihak polis di balai-balai yang terpaksa melayan orang ramai. Oleh sebab itu, Ketua Polis Negara telah menarik balik sekatan rentas negeri untuk sementara waktu.

Sehinggalah kuatkuasanya Perintah Sekatan Pergerakan pada tengah malam 18 Mac 2020, masih tidak jelas apakah sekatan yang akan dikenakan ke atas pergerakan.

Ramai yang sudah pun balik ke kampung. Keadaan kelam kabut dan bersesak pada 17 dan 18 Mac itu diharapkan tidak mewujudkan kluster baharu.

Pada pagi hari pertama sekatan barulah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dikeluarkan.

Barulah jelas bahawa keluar rumah tanpa sebab pun tidak dibenarkan. Malahan keluar rumah kena ada sebab khusus mengikut perintah tersebut.

Seterusnya, pada malam hari pertama, Perdana Menteri sekali lagi memberikan perutusan khas. Dengan jelas beliau meminta rakyat untuk tidak keluar dan tinggal di rumah. “Just stay at home,” katanya.

Ketika negara menghadapi krisis, komunikasi daripada pihak kerajaan adalah begitu penting. Kecelaruan komunikasi kerajaan pada hari-hari awal PKP tersebut telah menyebabkan kekeliruan. Ini harus diperbaiki.

Diharapkan bahawa selepas ini, kerajaan akan memperbaiki komunikasi mereka dan PKP akan dikuatkuasakan dengan lancar.

Kita sebagai rakyat juga bertanggungjawab untuk mematuhi PKP itu. Bersama-sama kita melawan wabak Covid-19 ini.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur