PM bakal hubungi rakan diplomatik, bincang usaha selamatkan delegasi Malaysia

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menghubungi rakan sejawat diplomatik dari Turkiye, Mesir dan Arab Saudi bagi membincangkan usaha menyelamat sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF), yang ditahan tentera Israel baru-baru ini.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Perdana Menteri menyatakan pendiriannya untuk menggunakan laluan diplomatik dengan negara luar sebagai kaedah bagi menyelamatkan sukarelawan misi kemanusiaan, khususnya delegasi Malaysia.
"Pada jam 9.38 pagi tadi, Perdana Menteri telah berhubung dengan saya dan menyatakan komitmen beliau selaku penaung utama misi untuk menghubungi rakan sejawat diplomatik beliau seperti
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan Arab Saudi.
"Kita mohon Perdana Menteri dapat mewakili suara kita dan melaksanakan apa yang kita terhad (ketika ini) untuk lakukan laluan diplomatik dan laluan hubungan erat antara Malaysia dan juga negara-negara besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pusat Kawalan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Malaysia, pada Khamis.
Sebelum ini, SNCC pada Khamis jam 2.03 pagi waktu Malaysia, mengesahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.
Ujar Sani Araby, Anwar juga menyatakan usahanya untuk membuat rundingan susulan melibatkan negara lain termasuk United Kingdom (UK) dan Sepanyol bagi pembebasan delegasi Malaysia.
“Pastinya kita mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan kerana walaupun kita sudah menjangkakan, kita merasakan ini adalah tindakan yang bacul dan juga tidak patut dilakukan kepada masyarakat sivil.
“Kita berkali-kali membuat kenyataan bahawa misi ini tidak melanggar mana-mana perundangan dan kita datang dengan membawa bantuan kemanusiaan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berhubung dengan Turkiye, Mesir dan Arab Saudi
- Ini bertujuan membincangkan usaha menyelamat sukarelawan misi Global Sumud Flotilla yang ditahan
- Sukarelawan itu ditahan oleh tentera Israel
- Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara mahu menggunakan laluan diplomatik
- Ini untuk menyelamatkan sukarelawan, khususnya delegasi Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

