'Misi SPRM pulihkan aset negara, walau kes sudah lama'

Azam ketika sesi wawancara bersama pengamal media sempena Ulang Tahun SPRM Ke-58 di pejabatnya baru-baru ini. Foto Bernama
Azam ketika sesi wawancara bersama pengamal media sempena Ulang Tahun SPRM Ke-58 di pejabatnya baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berikrar untuk terus memulihkan semula aset negara yang hilang akibat rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Menurutnya, dalam tempoh Januari hingga 29 Ogos tahun ini sahaja, SPRM berjaya melaksanakan sitaan berjumlah RM6.81 bilion. Selain daripada pertuduhan, SPRM turut meneroka kaedah lain bagi memastikan aset yang dirampas dapat dikembalikan semula kepada negara.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan kerasnya bukanlah disebabkan arahan daripada mana-mana pihak, sebaliknya demi melaksanakan tanggungjawab tanpa rasa gentar, walaupun menyebabkan banyak pihak tersinggung, tidak suka dan menganggap tindakan SPRM menyiasat kes-kes lama sebagai tidak wajar sehingga ada yang memperlekehkan usaha tersebut.

Azam turut berkongsi cabaran SPRM serta usaha sama dengan United Kingdom, Switzerland dan beberapa negara lain bagi mengesan serta membawa pulang baki aset RM12 bilion dalam kes 1MDB yang telah menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Ikuti wawancara bersama Tan Sri Azam Baki dengan wartawan Sinar Harian, FARAH SHAZWANI ALI dan beberapa wakil media tempatan lain sempena Ulang Tahun SPRM ke-58, baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Apakah usaha yang dilakukan SPRM dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya rasuah?

AZAM: Kalau dilihat sekarang, tuntutan dalam mendidik masyarakat pada era digital dan kecerdasan buatan (AI) bukanlah sesuatu yang mudah. Kita berdepan dengan generasi baharu yang cara pemikiran mereka tidak lagi konvensional seperti generasi terdahulu. Semakin lama mereka terdedah kepada perkara baharu, kita juga perlu menggunakan pendekatan dan kaedah yang lebih segar.

Oleh itu, dalam kepimpinan saya di SPRM, walaupun tajuk-tajuk program masih sama seperti ceramah dan aktiviti kesedaran, namun pendekatan dalam menyampaikan mesej kepada generasi baharu amat penting.

Artikel Berkaitan:

Saya percaya, dalam kalangan generasi berumur sekitar 50 tahun ke atas, usaha ini lebih mudah kerana mereka memahami serta merasai perubahan yang berlaku. Sebagai contoh, perkembangan teknologi maklumat dan media sosial telah mendorong SPRM untuk memanfaatkan platform tersebut dalam menyampaikan mesej antirasuah.

Pelbagai pendekatan lain juga sedang dijalankan, antaranya program Kursus Integriti Antirasuah (KIA) yang diwajibkan kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dan turut diperluas ke institusi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).

Terbaharu, kita telah melancarkan komik khas untuk kanak-kanak. Buat masa ini, 1,000 prasekolah telah dipilih untuk projek rintis ini, dan jika berjaya, program ini akan diteruskan ke sekolah-sekolah rendah dan seterusnya.

Melihat kepada cabaran dan pelbagai halangan yang dihadapi oleh pegawai-pegawai SPRM, bagaimana persediaan yang dibuat untuk memantapkan kecekapan serta kepakaran mereka?

Saya pernah menyatakan dalam ucapan awal tahun 2025 bahawa pegawai-pegawai SPRM kini bukan sahaja perlu disediakan, malah telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi apa jua cabaran dan dugaan pada masa akan datang.

Ini kerana kes-kes rasuah kini semakin kompleks dan canggih. Dalam menangani jenayah rasuah, selain aspek pencegahan, saya memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kemahiran, khususnya dalam bidang operasi. Perkara ini telah pun dilaksanakan dan akan terus dipertingkatkan, terutamanya dalam menangani jenayah kewangan.

Dahulu, jenayah rasuah sering dikaitkan dengan salah guna kuasa semata-mata. Namun, sejak awal tahun 2000 hingga 2009, ia telah berkembang menjadi jenayah ekonomi.

Kini, ia dikenali sebagai jenayah kewangan, merentas pelbagai bidang dan sempadan. Pegawai SPRM telah diberi latihan dan pendedahan di peringkat antarabangsa, serta menyertai kursus dalaman dan luar negara dalam pelbagai bidang seperti operasi, pencegahan, dan pendidikan masyarakat.

Menjelang masa hadapan, saya melihat ada keperluan untuk meningkatkan tahap akademik dalam kalangan pegawai SPRM.

Jika dahulu mereka dibenarkan mengambil pengajian dalam pelbagai bidang, kini kami lebih menumpukan kepada bidang khusus seperti kriminologi, undang- undang, penguatkuasaan, perakaunan dan hal-hal berkaitan jenayah kewangan. Ini semua penting bagi memastikan mereka mampu menangani cabaran jenayah rasuah yang semakin mencabar.

Rasuah sering kali dikaitkan dengan ketirisan dana, salah guna kuasa dalam projek dan kegagalan pungutan hasil negara. Bagaimana SPRM memastikan penguatkuasaan dalam isu ini dapat diatasi atau diberi penekanan?

Saya pernah nyatakan sebelum ini bahawa hasil daripada penipuan atau fraud yang berpunca daripada rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya, negara telah mengalami kerugian sebanyak RM277 bilion. Ia merupakan kerugian besar yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.

Salah satu isu utama adalah berkaitan dengan perolehan dana kerajaan, termasuk projek tender, bukan sahaja di peringkat kerajaan, malah turut melibatkan sektor syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ini merupakan isu yang amat penting kerana selain daripada rasuah yang dilakukan secara langsung, bentuk rasuah yang lebih licik ialah apabila kehilangan wang negara berlaku melalui kerjasama antara dua pihak iaitu pihak yang mempunyai kuasa dan pihak yang memohon untuk mendapatkan tender. Apabila masing-masing berebut tender, maka berlakulah rasuah dan sogokan. Untuk menutup perbuatan tersebut, kos projek akan dinaikkan, dan akhirnya negara yang menanggung kerugian.

Ketirisan ini berlaku dalam dua bentuk. Pertama, kenaikan kos projek, biasanya sekitar 10 hingga 15 peratus. Kedua, dana yang gagal dikutip. Hal ini juga berpunca daripada rasuah, apabila ada pihak yang sengaja 'pandang sebelah mata' atau 'tutup dua mata', menyebabkan kutipan hasil seperti cukai, perlesenan dan denda tidak dijalankan sebagaimana sepatutnya.

Masalah ini banyak berlaku dalam sektor keselamatan dan jabatan yang bertanggungjawab mengutip hasil untuk kerajaan. Jadi, apakah tindakan kami?

Selain melaksanakan operasi dan pelbagai langkah penguatkuasaan, SPRM turut menjalankan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak. Kami juga menasihatkan agar prinsip keterbukaan dan ketelusan diterapkan dalam urusan perolehan kerajaan.

Saya secara peribadi dan pihak SPRM secara keseluruhan amat menyokong Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan yang telah dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini.

Antara perkara penting yang diperjuangkan oleh SPRM dan turut dimasukkan dalam RUU tersebut ialah keperluan untuk membuat pengisytiharan pemilikan benefisial. Ini bermakna pihak yang menyertai tender perlu mengisytiharkan siapakah pemilik sebenar syarikat mereka, bagi mengelakkan monopoli dan penguasaan kartel.

Isu kartel ini amat penting kerana ia sering menjadi punca berlakunya penyalahgunaan sistem tender. Banyak kes telah kami kemukakan kepada masyarakat dan kepada pihak Kementerian Kewangan untuk tindakan lanjut.

Boleh Tan Sri kongsikan kejayaan yang dilakukan SPRM?

Bagi tempoh Januari hingga 31 Julai 2025, sebanyak 728 kertas siasatan (KS) telah dibuka, di mana sebanyak 109 kertas siasatan kategori profil tinggi, tumpuan umum dan sensitif (HPPIS) manakala 619 kertas siasatan adalah berbentuk kertas siasatan kategori biasa.

Ini tidak termasuk data pembukaan kertas penyiasatan awal. Bermakna kalau saya campur dengan kertas penyiasatan awal, mungkin banyak lagi tapi saya pergi kepada kertas siasatan dan saya pecahkan di sini, kertas siasatan mengikut Kumpulan Perjawatan dari Januari hingga 1 Julai 2025. Bagi agensi swasta sebanyak 280 kertas siasatan, kerajaan Persekutuan (198), orang awam (104), kerajaan negeri (95), badan berkanun (38), GLC dan politik (13).

Pecahan kertas siasatan mengikut kesalahan dalam tempoh yang sama iaitu melibatkan tuntutan palsu sebanyak 251, terima rasuah (239), salah guna jawatan atau kedudukan (89), pengubahan wang haram (54), beri rasuah (47) dan lain-lain Kesalahan Akta SPRM 2009 adalah 48.

Bagi statistik tangkapan, pembekuan, kompaun dan kaedah lain pemulihan aset dari Januari hingga 29 Ogos. Bagi sitaan berjumlah RM6,810,933,701.24. Ia meliputi sitaan di bawah Akta SPRM 2009 berjumlah RM556,462,964.39 dan AMLATFPUAA 2001 berjumlah RM6,254,470,736.85.

Pembekuan mengikut AMLATFPUAA 2001 pula berjumlah RM31,718,688.53. Bagi lucut hak berjumlah RM5,725,059.29. Ia meliputi Akta SPRM 2009 berjumlah RM5,379,799.20, AMLATFPUAA 2001 sebanyak RM175, 120 serta Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan lain-lain akta sebanyak RM170,140.

Jumlah kompaun yang dikutip pula adalah RM21,504,144.45 manakala kaedah lain pemulihan aset adalah RM23,462,793. 80.

Apa yang penting di sini adalah seperti saya umumkan dahulu, dengan kekuatan yang ada, kita menerokai kaedah di mana selain daripada pertuduhan, kita juga ada pilihan lain di mana untuk mengembalikan aset.

Aset-aset ini perlu dikembalikan kepada negara. Kes-kes menyebabkan 1MDB masih lagi diteruskan, di mana pemulihan aset ini sedang berjalan dan kita masih lagi berusaha dengan negara-negara luar bagi mengembalikan aset-aset ini seperti daripada UK, daripada Switzerland dan sebagainya.

Pendekatan pemulihan aset yang kami lakukan dalam kes 1MDB adalah pendekatan pemulihan secara criminal forfeiture ataupun pemulihan secara undang-undang jenayah.

Ada lagi satu undang-undang yang dinamakan pemulihan secara sivil, itu saya serahkan kepada 1MDB kerana 1MDB bagi pihak yang berkepentingan, mereka melantik peguam sendiri untuk memulihkan aset. Tetapi usaha dalam memulihkan aset 1MDB dalam membentuk pemulihan secara criminal forfeiture, perlu dilaksanakan kerana menyebabkan legal framework daripada negara-negara luar. Ini pentingnya engagement network kami dengan negara-negara luar.

Sekiranya mereka tidak memandang SPRM, sudah tentu kami tidak dapat berurusan dengan negara-negara yang dahulu sukar untuk kita tembusi seperti Switzerland, United Kingdom dan sebagainya. Ada juga negara-negara seperti Barbados dan Kuwait, ini yang sedang kita usahakan untuk kembalikan wang sebanyak mungkin.

Setakat ini dalam kes 1MDB, sekitar lebih kurang RM30 bilion saja dapat dikembalikan. Sedangkan dari segi kehilangan kita pada asas adalah RM42 bilion. Jadi lebih kurang dalam RM12 bilion tapi kalau campur interest dan sebagainya, kehilangan kita lebih besar daripada itu. Jadi, kami sedang berusaha untuk kembalikan wang-wang berkenaan.

Kebelakangan ini, SPRM dilihat banyak membuat tangkapan dan pendakwaan melibatkan kes lama termasuk yang berlaku lebih lima tahun lalu. Adakah SPRM kini memberi fokus untuk membuka semula kes-kes lama ini berdasarkan maklumat-maklumat baharu?

Saya rasa mungkin ramai yang akan berasa tersinggung, tidak suka, atau menganggap tindakan SPRM menyiasat kes-kes lama sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Namun, saya ingin tegaskan sekali lagi, seperti yang pernah saya nyatakan dalam satu majlis di Sarawak beberapa tahun lalu bahawa SPRM adalah agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat apa sahaja kesalahan jenayah rasuah, tanpa mengira sama ada kes itu lama atau baharu, terutamanya jika ia melibatkan kerugian besar kepada negara.

Sekiranya sesuatu kes itu menyebabkan kehilangan besar kepada negara, maka menjadi tanggungjawab kami untuk menyiasatnya, lebih-lebih lagi di bawah kepimpinan saya sekarang.

Mungkin ada pihak yang memperlekehkan tindakan ini pada masa kini, tetapi saya ingin bertanya semula: jika lima tahun akan datang, apabila saya sudah tiada dalam sistem ini, isu-isu sama timbul semula, adakah mereka yang memperlekehkan saya hari ini tidak akan bertanya, apa Azam Baki lakukan ketika menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM?

Jadi, tindakan tegas tetap akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat, walaupun kes sudah berlaku sekian lama. Matlamat utama kami bukan untuk kepentingan SPRM, tetapi untuk memulangkan kembali wang tersebut kepada rakyat. Oleh itu, sepatutnya masyarakat menyokong dan menyambut baik usaha yang kami jalankan, asalkan ia dapat dibuktikan secara sah.

Seperti yang saya tegaskan sejak awal tahun ini, semua isu berkaitan kehilangan wang negara perlu dikembalikan kepada rakyat. Dan untuk menjawab soalan berkaitan maklumat baharu tentulah kami bertindak berdasarkan maklumat terkini.

Tanpa maklumat baharu, kami tidak akan dapat memulakan siasatan. Walaupun kes lama dan membabitkan keterangan yang berusia bertahun-tahun, pegawai-pegawai saya bekerja keras untuk meneliti dan mengesan aset-aset yang terlibat.

Insya-ALLAH, sekiranya kami menerima maklumat terkini daripada penyiasatan luar negara yang membabitkan aset bernilai besar, saya akan secara terbuka memaklumkan kepada rakyat: inilah hasil yang telah kami usahakan dan pulangkan untuk tuan-tuan semua.

Penting untuk saya nyatakan bahawa tindakan ini bukan hasil arahan mana-mana pihak, tetapi merupakan polisi yang digariskan oleh kerajaan, iaitu agar SPRM bertindak tegas dan berani.

Namun, daripada sudut aspirasi saya sendiri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, serta komitmen pegawai-pegawai saya, kami melaksanakan tugas ini tanpa rasa gentar terhadap kegagalan. Kalau ada kes, kami akan ambil tindakan sewajarnya sama ada dibawa ke mahkamah atau menggunakan kaedah lain yang diperuntukkan oleh undang-undang. Kalau tiada kes, terpulang kepada masyarakat untuk menilai, kerana bukan semua kes dapat dibuktikan. Namun, kami sentiasa berusaha mengambil tindakan yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara ini.

 

Ringkasan AI

  • Azam Baki berikrar memulihkan aset negara yang hilang akibat rasuah
  • SPRM berjaya laksanakan sitaan RM6.81 bilion dari Januari hingga 29 Ogos
  • Kerjasama dengan negara lain dalam usaha pemulihan aset kes 1MDB
  • Pendekatan pendidikan dan kesedaran antirasuah menggunakan teknologi dan media sosial
  • Tumpuan juga diberikan kepada pembukaan semula kes-kes lama berdasarkan maklumat baharu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!