Covid-19: Trump tidak hirau amaran CIA

Trump pada mulanya tidak menganggap serius ancaman Covid-19. - Foto Agensi
Trump pada mulanya tidak menganggap serius ancaman Covid-19. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa mengabaikan amaran Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengenai ancaman koronavirus (Covid-19).

Laporan The Washington Post yang memetik seorang pegawai CIA menyebut, Trump memperlekeh ancaman pandemik Covid-19 meskipun wujud peningkatan kebimbangan dalam kalangan pembantu serta anggota Kabinetnya sepanjang Januari dan Februari lalu.

“Trump mungkin tidak menjangkakan situasi boleh bertukar menjadi parah tetap ramai pegawai dalam pentadbirannya sudah mula menyedari impak Covid-19 sejak dari awal.

“Masalahnya, mereka gagal meyakinkan Trump supaya bertindak segera bagi membendung penularan wabak,” katanya.

Pegawai AS mula dimaklumkan mengenai laporan kes Covid-19 di Wuhan, China pada 3 Januari lalu.

Situasi bertambah sulit apabila Setiausaha Perkhidmatan Manusia dan Kesihatan, Alex Azar gagal menghubungi Trump bagi memaklumkan tahap ancaman pandemik berkenaan.

“Sebaik sahaja Azar dapat bercakap dengan presiden pada 18 Januari lalu, Trump lebih berminat membincangkan penarikan larangan penjualan produk e-rokok berperisa di pasaran.

“Trump seolah-olah tidak mahu ambil peduli mengenai penularan Covid-19 yang ketika itu meragut ratusan nyawa di China,” katanya.

Artikel Berkaitan:

AS merekodkan kes pertama Covid-19 pada 21 Januari lalu membabitkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang kembali daripada melakukan perjalanan ke Wuhan.

Sehingga hari ini, AS merekodkan lebih 26,000 kes membabitkan 323 kematian. - Agensi