11 pusat kuarantin dibuka di Wilayah Persekutuan esok

Annuar
Annuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 11 pusat kuarantin koronavirus (Covid-19) dibuka di Wilayah Persekutuan termasuk Labuan bermula esok.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pasukan petugas diketuai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengatur pemindahan pesakit Covid-19 yang sedang dikuarantin di Masjid Sri Petaling.

"KKM telah gazetkan 11 pusat kuarantin di seluruh Wilayah Persekutuan termasuk Labuan. Pusat kuarantin ini akan mula digunakan bermula esok.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan KKM akan mengatur perpindahan sebahagian mereka yang sedang dikuarantin di Masjid Sri Petaling yang menjadi tempat peserta himpunan tabligh baru-baru ini," katanya pada sesi Live Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan, sebentar tadi.

Annuar turut memaklumkan kementeriannya dalam usaha mempertingkatkan sistem hebahan dan penyampaian maklumat berhubung Perintah Kawalan Pergerakan.

“Hebahan awam itu menggunakan enam bahasa termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Mandarin selain bahasa yang mudah difahami kaum Rohingya dan Bangladesh yang digunakan terutama di Selayang.

“Langkah tegas juga perlu dilakukan di kawasan merah iaitu Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong dan Cheras melalui pemantauan lebih rapi terutama kawasan kejadian (Covid-19) yang direkodkan,” katanya.

Artikel Berkaitan: