Doktor perubatan mangsa kesembilan meninggal dunia

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang doktor perubatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) disahkan meninggal dunia akibat koronavirus (Covid-19) menjadikan jumlah kematian kini meningkat kepada sembilan orang.

Doktor berusia 48 tahun itu mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac setelah mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki itu disahkan positif Covid-19 pada 18 Mac dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac setelah keadaan kesihatan beliau merudum.

Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 10.33 pagi pada 22 Mac.

"Kes jangkitan Covid-19 ini disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan (frontliners) mahupun daripada kalangan rakan kerja (working colleague) yang berhadapan dengan pesakit Covid-19.

"Ia adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara," katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian itu adalah merupakan kes kematian pertama dalam kalangan kakitangan kesihatan (kes ke-890).

Sehubungan itu, beliau berkata seluruh warga KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.

Artikel Berkaitan: