Bacaan IPU kawasan bandar baik, sederhana sejak PKP

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan kualiti udara yang baik di kawasan-kawasan bandar utama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Dalam satu kenyataan, JAS berkata, Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan setakat jam 4 petang semalam merekodkan 19 kawasan dengan bacaan baik dan 49 kawasan dengan bacaan sederhana.

"JAS sentiasa memantau status kualiti udara sepanjang PKP yang berkuatkuasa dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020 ini.

"Berdasarkan pemerhatian JAS, IPU di kawasan-kawasan bandar utama menunjukkan bacaan baik dan sederhana sepanjang masa,"katanya.

Dalam masa sama, JAS berkata, berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura, sebanyak 16 titik panas dikesan melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) di lapan negeri seluruh negara pada Jumaat.

Katanya, tiga titik panas dikesan di Kedah, Pahang dan Sabah; dua di Perak dan Terengganu; manakala Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing dikesan mempunyai satu titik panas.

"Titik panas yang dikesan akan disiasat dibawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Selain itu, di Sumatera, Indonesia 13 titik panas (hotspot) yang dikesan dan 1 titik panas (hotspot) dikesan di Kalimantan, Indonesia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, JAS berkata, sebanyak 2,259 kes pembakaran terbuka diterima JAS dari 1 Januari 2020 sehingga Jumaat lalu.

Ujarnya, daripada jumlah ini sebanyak 1,409 kes adalah di bawah bidang kuasa JAS dan didapati berasas.

"Dalam hal ini, sebanyak 142 kompaun, 50 tindakan mahkamah, 87 notis arahan, 150 Surat arahan, 582 arahan lapangan dan 389 amaran larangan pembakaran terbuka telah dikeluarkan," katanya.