24 sekatan jalan raya seluruh Pulau Pinang

Soffian (kanan) bersama pegawainya memantau keadaan trafik dan orang ramai di Pasar Awam Air Itam.
Soffian (kanan) bersama pegawainya memantau keadaan trafik dan orang ramai di Pasar Awam Air Itam.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 24 sekatan jalan raya dijalankan di seluruh Pulau Pinang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, sekatan jalan raya itu adalah salah satu usaha untuk mengawal pergerakan orang ramai agar tidak keluar dari kediaman mereka tanpa tujuan penting.

Menurutnya, setakat ini penugasan yang dijalankan berjalan lancar dan tidak berdepan sebarang masalah.

"Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, polis Pulau Pinang menjalankan 24 sekatan jalan raya dalam satu masa di seluruh negeri ini. Sekatan jalan raya ini dijalankan di kawasan hotspot bagi mengekang pergerakan orang ramai sepanjang tempoh ini.

"Kita mendapat bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan menyertai operasi dan sekatan jalan raya selain membantu mengadakan 'snap check'. Dengan usaha ini, kita berharap objektif Perintah Kawalan Pergerakan ini berjaya," katanya kepada media sebentar tadi.

Terdahulu, Sahabudin bersama Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, anggota polis dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuat pemantauan di Pasar Awam Air Itam di sini.

Sahabudin (tengah) membuat pemantauan di Pasar Air Itam hari ini.
Sahabudin (tengah) membuat pemantauan di Pasar Air Itam hari ini.

Ia susulan arahan MBPP agar semua penjaja tepi jalan di empat lokasi termasuk Pasar Awam Air Itam menghentikan perniagaan mereka bermula hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tiga lagi kawasan tersebut adalah di Pasar Awam Bayan Baru, Jalan Perak dan Jelutong.

Soffian menasihatkan orang awam supaya memakai penutup muka ketika berada di luar rumah.
Soffian menasihatkan orang awam supaya memakai penutup muka ketika berada di luar rumah.

Arahan itu dibuat apabila MBPP mendapati penjaja di keempat-empat kawasan tersebut masih berdegil walaupun pihak berkuasa telah memberi nasihat berhubung Perintah Kawalan Pergerakan sejak empat hari lalu.

Sementara itu, Sahabudin berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas selepas pendekatan secara berhemah gagal dipatuhi oleh masyarakat di negeri ini.

Tinjauan pagi tadi mendapati masih ramai pembeli yang tidak menghiraukan jarak sosial ketika membeli.
Tinjauan pagi tadi mendapati masih ramai pembeli yang tidak menghiraukan jarak sosial ketika membeli.

"Setakat hari ini, hotspot yang dikenal pasti menunjukkan penurunan jumlah kenderaan dan orang awam sehingga 70 peratus. Bagaimanapun, itu belum menunjukkan perkembangan positif. Kita faham, penduduk memerlukan bahan mentah untuk dimasak tetapi mereka perlu mematuhi beberapa peraturan.

"Kita juga mendapati masih ramai yang tidak mematuhi jarak sosial ketika membeli. Polis dan anggota MBPP akan memantau dari semasa ke semasa, jika masih tidak berubah tindakan tegas akan diambil iaitu penutupan premis. Namun, ia memerlukan perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri dan MBPP," katanya.

Katanya, indeks jenayah di Pulau Pinang juga menunjukkan penurunan ketara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan.