'Kita mesti menang melawan virus paling bahaya'

Adham
Adham
A
A
A

DATUK Seri Dr Adham Baba mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan pada 10 Mac lalu ketika wabak koronavirus Covid-19 sudah pun memasuki gelombang kedua di negara ini. Kini, wabak itu telah menjadi bencana kesihatan dianggap terburuk dunia.

Sebanyak 172 negara terlibat dengan 277,500 kes positif dan 11,485 kematian. Di Malaysia, kes pesakit disahkan positif Covid-19 naik kepada 1,030 kes dengan tiga kematian. Senario itu kelihatan beban seolah-olah kita terletak di bahu Menteri Kesihatan yang baharu.

Dalam wawancara eksklusif bersama Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian Zuki Pileh dan wartawan Nurul Riduan Nor Ashaha, Khamis lalu, Dr Adham berterus terang mengenai kemungkinan langkah kuarantin yang lebih ketat di rumah melibat semua rakyat terpaksa dilakukan seandainya Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hingga 31 Mac ini gagal. Beliau juga berkongsi tentang betapa bahayanya virus baharu yang sedang melanda dunia sekarang.

SINAR AHAD: Datuk Seri mendapat mandat menjadi Menteri Kesihatan ketika Covid-19 menjadi satu bencana di dunia. Apakah perasaan Datuk Seri dan bagaimanakah cara Datuk Seri mendepani isu yang dianggap terburuk dalam dunia pada ketika ini?

DR ADHAM: Saya mempunyai latar belakang sebagai doktor perubatan. Apabila saya dilantik sebagai Menteri Kesihatan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya tahu bahawa penularan wabak Covid-19 ini bukan perkara yang remeh. Sebab itu saya tanpa lengah terus mendapatkan segala taklimat daripada pihak kementerian iaitu pada petang yang sama selepas saya angkat sumpah pada 10 Mac lalu.

Gelombang pertama adalah kes-kes yang dibawa dari luar negara khususnya China. Jadi, saya terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk meninjau bentuk dan peranan barisan hadapan kita di mana mereka mengesan dan menyaring pelawat yang datang dari luar negara. Saya dapati saringan itu bertepatan dengan prosedur operasi standard dalam menangani kemasukan wabak dari luar negara. Apabila saya dapati kawalan di pintu masuk dapat dikawal dengan baik, saya rasa lebih yakin bahawa gelombang pertama yang datang dari Wuhan itu akan berakhir.

Malangnya, gelombang kedua muncul dan ia dari kluster dalam negara kita sendiri seperti yang kita sedang hadapi pada hari ini. Walaupun kluster gelombang pertama telah berakhir tetapi rupa-rupanya kita dapat 'anak' daripada gelombang pertama itu. Kluster baru itu muncul selepas hampir 16,000 orang jemaah tabligh berkumpul di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu yang melibatkan 14,500 rakyat Malaysia dan lebih 1,500 rakyat negara luar. Tiba-tiba satu kes pesakit positif Covid-19 dikesan di Brunei dan pesakit itu didapati ada sejarah datang ke Masjid Sri Petaling sebagai jemaah tabligh. Di situ kita terus dapati sudah ada gelombang kedua iaitu kluster tabligh.

Saya kemudian mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Akta itu memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengarahkan supaya tidak ada pergerakan keluar rumah. Ia seperti mengasingkan diri dan kuarantin.

Hari ini kematian direkodkan semakin bertambah dan turut direkodkan adalah tambahan kematian melibatkan kluster tabligh. Apa yang boleh dirumuskan dengan pertambahan kematian ini?

Artikel Berkaitan:

KKM melalui kenyataan rasmi melaporkan sehingga jam 12 tengah hari (semalam), kita ada enam kematian berkaitan dengan Covid-19 yang mana mereka semua ini merupakan pesakit yang berada dalam keadaan ventilator. Jadi kes hari ini (semalam) daripada 153 yang positif, 90 daripada mereka dalam daripada kumpulan kluster tabligh.

Seperti kita jangka, kita masih lagi perlu untuk mengeluarkan kluster tabligh ini untuk disaring iaitu lebih kurang 2,000 orang yang perlu kita cari. Kita sudah memberikan maklumat ini kepada pihak polis untuk mengesan mereka kerana jemaah tabligh yang mana pemimpin mereka sudah menyenaraikan nama-nama mereka dan ini memudahkan kerja kita.

Wawancara eksklusif bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berhubung isu Covid-19.
Wawancara eksklusif bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berhubung isu Covid-19.

Bagaimanapun kalau kita dapat saring semua kluster tabligh itu, hingga tiada kes yang kita saring, maka kita sebenarnya membuat satu keputusan yang benar dengan menghentikan rangkaian jangkitan Covid-19 dan kita dapat gunakan sepenuhnya Akta 342 Perintah Kawalan Pergerakan untuk kita hentikannya dan perkara ini perlu dibantu dengan kaedah dan penyertaan polis dan ATM.

Kami di KKM hanya memberi rawatan dan juga menyenaraikan peserta-peserta yang perlu disaring, kontak-kontak yang kita kenal pasti dan juga kita ingin supaya mereka yang rasa bergejala seperti mempunyai demam, sakit tekak dan kemungkinan fasa akhir mereka mempunyai masalah pernafasan. Mereka perlu ke hospital saringan untuk di uji melalui swab dan dihantar ke makmal untuk diuji.

Kes kematian memang dijangka tetapi apa yang kita pasti tiada kes baharu daripada kluster yang terbaru.

Kita sekarang berada dalam gelombang kedua. Adakah kemungkinan berlaku gelombang ketiga, keempat atau adakah gelombang seterusnya itu lebih dahsyat?

Kalau tidak dapat diatasi dengan baik, ia akan jadi gelombang ketiga seperti tsunami. Ini yang berlaku di Itali. Negara maju seperti Itali sendiri mempunyai enam gelombang. Kalau kita tidak sekat lebih awal, kita akan berdepan dengan gelombang ketiga. Untuk makluman, kita sudah ada generasi kedua kepada jemaah tabligh ini. Jemaah tabligh ini sudah keluarkan generasi kedua. Maknanya, kalau si bapa hadiri program tabligh di Masjid Sri Petaling, Covid-19 ini mungkin sudah ada dalam tubuh anak dan isteri mereka. Ini yang kita panggil sebagai generasi kedua dalam penularan Covid-19.

Jadi kita mesti perhatikan trend ini. Kalau kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, kita mesti betul-betul menyekat penyebaran wabak ini dari orang ke orang. Sebab itu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) umumkan bahawa dunia mengalami pandemik Covid-19 iaitu jangkitan dari orang ke orang, antara benua ke benua dan negara ke negara dalam masa yang sama. Itu maksudnya pandemik. Pandemik ini berlaku di serata dunia. Kalau kita boleh lihat, dalam satu dunia ini lebih 170 negara yang terlibat.

Dalam beberapa hari ini, Datuk Seri meninjau hospital, berjumpa pengamal-pengamal perubatan dan berjumpa pesakit. Apa yang boleh Datuk Seri katakan tentang virus Covid-19 ini?

Covid-19 adalah virus yang tidak pernah wujud dalam manusia. Covid-19 ini bermula di Wuhan. Korona ini berbentuk crown (mahkota) dan 'badan' virus ini ada jeriji-jeriji yang melekat pada dinding tisu manusia. Virus ini suka duduk di kerongkong. Tempat kedua yang virus ini suka duduk adalah pada bahagian bawah paru-paru. Sebab itu orang menghidap pneumonia apabila terkena jangkitan Covid-19. Ini sangat bahaya kerana dalam infeksi virus ini, tiada ubat dan vaksin yang ditemui. Kita merawat pesakit dengan rawatan simptomatik sahaja.

Dalam kes yang teruk, ia akan menyebabkan masalah radang saluran pernafasan. Sebab itu, kadar kematian tinggi di Itali disebabkan tiada ventilator yang mencukupi. Pesakit yang teruk itu tidak dapat dibantu dengan ventilator atau bantuan pernafasan. Ini senario kes teruk yang berlaku di Itali.

Bagaimanapun, kita tidak boleh ambil mudah penularan Covid-19 kerana ia sangat bahaya. Virus ini tidak pernah ada dalam badan manusia tetapi kali ini ia mempunyai kekuatan untuk berpindah dari manusia ke manusia melalui droplet atau titisan kecil.

Jadi kalau batuk, ada selesema, bersin, ia mudah menjangkiti orang lain yang dekat dan rapat dengan kita. Selain itu, sekiranya kita batuk di dalam bilik air sekalipun, jika orang lain datang dan menggunakan tandas tersebut ia juga boleh berjangkit.

Jadi penularan wabak Covid-19 ini, warga Malaysia mesti mengambil berat supaya pertama, kita selamatkan diri kita dahulu. Kedua, selamatkan keluarga kita dan ketiga, kita selamatkan masyarakat kita.

Sekarang ini kita sudah ada jumlah yang tinggi kalau kita kira pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan. Ini kerana setiap hari ada peningkatan kes dan ia menaik kerana sudah ada kelompok-kelompok yang tidak mahu tampil ke hadapan sedangkan mereka adalah pesakit Covid-19 yang tidak isytihar. Ini yang ramai lagi yang dalam masyarakat kita yang perlu dikeluarkan untuk disaring.

Datuk Seri sudah lebih 30 tahun dan telah melihat kemunculan banyak virus berbahaya di dunia seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Ebola dan Japanese Encephalitis (JE). Apakah Covid-19 ini lebih berbahaya berbanding kumpulan virus yang lain?

Dalam perubatan, kita menggelar ini sebagai penyakit berjangkit. Penyakit berjangkit ini bukan sahaja koronavirus, tetapi kita ada denggi, tuberkulosis, SARS, wabak Influenza H1N1 dan MERS-Cov iaitu virus daripada unta. Jadi virus-virus ini sebenarnya memerlukan perumah yang melibatkan haiwan dan manusia.

Covid-19 ditemui seawal Disember 2019. Sebab itu kita panggil novel koronavirus 19 iaitu, yang bermaksud virus baharu. Memang ia betul-betul baharu kerana ditemui secara tiba-tiba yang bermula di wilayah Wuhan, China. Asalnya masyarakat di sana dikatakan memakan haiwan-haiwan eksotik. Orang yang pertama dijangkiti boleh pindahkan kepada kontak pertama, kedua, ketiga dan keempat dengan pantas kerana virus ini memerlukan tubuh manusia.

Kalau di luar, virus ini tidak boleh bertahan lama kerana kalau panas dalam masa 10 jam ia akan mati. Tetapi jika masuk ke dalam tubuh kita, ia akan membiak dengan cepat dan sampai masa ia tidak boleh dikawal dan mampu merosakkan sistem tubuh kita terutamanya paru-paru, selepas penghidap mengalami sakit tekak dan batuk (batuk kering).

Adham
Adham

Bagaimanapun tanda-tanda yang paling kritikal adalah apabila pesakit mengalami demam. Sebab itu kita melakukan saringan pesakit-pesakit Covid-19 ini di pintu-pintu masuk dengan menggunakan pengimbas suhu pada permukaan badan. Sekiranya kita dapati mereka demam, maka kita boleh anggap mereka sebagai orang yang bergejala tetapi kita belum boleh katakan mereka ini pesakit Covid-19.

Sebaliknya sehinggalah mereka ini kita ambil swab. Untuk uji Covid-19 ini kita tidak boleh menggunakan peralatan sembarangan, sebaliknya kita perlu mengambil swab, letak dalam botol yang disteril sebelum di hantar ke makmal dengan menggunakan PCR (Polymerase Chain Reaction) dan paling cepat untuk mengetahui seseorang itu positif Covid-19 adalah dalam tempoh masa 24 jam.

Apa yang boleh Datuk Seri katakan terhadap wira barisan hadapan negara dalam usaha memerangi wabak Covid-19 ini?

Pertama saya ingin mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada semua petugas-petugas yang berada di lapangan sama ada di hospital yang telah kita khususkan menjalankan rawatan Covid-19.

Dalam negara, kita sudah gazetkan sebanyak 26 hospital yang kita gunakan untuk merawat kes positif Covid 19 dan yang dalam ujian. Satu lagi hospital bukan di bawah KKM iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Untuk pasukan-pasukan petugas kita dalam KKM yang berada dalam barisan hadapan, kita juga ada juga petugas pembersihan sebab mereka juga berdepan mungkin dengan kontak-kontak yang kita tidak tahu mereka positif atau kita tak dapat maklumat awal kerana mereka tidak beritahu dari mana mereka datang dan mungkin mereka tidak perasan mereka itu ada hubungan dengan kontak positif Covid-19.

Kita ada menyediakan sebanyak 59 hospital yang kita gelar sebagai hospital saringan di seluruh negara dan satu lagi PPUM. Untuk itu petugas-petugas yang telah memberikan perkhidmatan di barisan hadapan kita menyeru supaya mereka terus bersemangat untuk menjayakan langkah rawatan kepada pesakit yang positif Covid-19, antaranya mereka yang sedang disaring dan disiasat sama ada mereka positif atau tidak.

Jadi di tempat-tempat hospital saringan inilah kita berhati-hati dan sangat teliti. Sebab itu kita perlukan peralatan-peralatan seperti peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang patut mereka pakai. Dan ini kita salurkan sekiranya hospital-hospital yang menjalankan tanggungjawab ini mengalami kekurangan bekalan.

Kita mempunyai bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan kepada kita melalui fasa pertama melalui gelombang pertama Covid-19 yang telah tamat. Dalam gelombang kedua, kita telah belanjakan sebanyak RM160 juta dan ini telah dihantar kesemua hospital yang kita gazetkan.

Kita sekarang, kita berada di gelombang kedua. Kita juga diberikan tanggungjawab untuk mendapatkan bekalan seperti ventilator, PPE dan peralatan-peralatan pengukur suhu badan. Di pintu-pintu masuk juga kita gunakan peruntukan ini.

Saya ingin sekali memberi segala pujian kepada staf-staf yang telah lama bertugas di lapangan. Mereka bertugas tanpa henti. Kerajaan daripada maklumat yang kita dapat ialah elaun khas RM400 sebulan kepada doktor seta kakitangan perubatan di barisan hadapan sebagai tanda penghargaan petugas itu sehingga Covid-19 ini tamat. Kita tidak tahu berapa lama lagi ia akan berakhir tetapi apa yang perlu sekarang ini kita buat adalah kita cuba membendung.

Apakah agaknya yang akan berlaku sekiranya kita tidak mengenakan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan ini?

Sebab itu kerajaan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac ini kerana kita mengambil kira hari inkubasi tersebut. Sekiranya virus Covid-19 memasuki badan kita, ia akan berada di dalam badan selama 14 hari, jadi ini adalah tempoh inkubasi virus tersebut di mana pada waktu ini kita perlu membendung daripada ia terus menular.

Saya yakin jika Perintah Kawalan Pergerakan ini berjaya, maka kita tidak akan dapat lagi kes-kes baharu. Begitupun sekiranya sebaliknya, maka kita perlu mencadangkan kepada rakyat agar mengikut arahan perintah tersebut, jangan ada yang mengingkari (tidak patuh) dengan arahan supaya duduk di rumah dan tidak perlu keluar agar penularan tidak berlaku.

Tetapi sekiranya mereka tidak boleh laksanakan tanggungjawab tersebut berkemungkinan kita terpaksa mengisytiharkan darurat sebagaimana dilaksanakan di negara China dan ini mungkin tidak digemari oleh masyarakat.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ditetapkan selama 14 hari, apa harapan kita untuk berjaya?

Pertama sekali, kita kena set minda bahawa ini bukan percutian tetapi satu perintah negara untuk kita menyekat penularan virus dari badan mereka yang sudah dijangkiti. Kalau tak ada perintah ini, apa lagi boleh buat? Tiada.

Wabak ini akan berterusan jadi wabak yang besar, mungkin banyak kematian. Kita sudah tahu di China banyak kematian, di Itali kematian mendadak, di Sepanyol, Korea Selatan dan Iran. Mereka cuba buat yang terbaik. Kita tidak mahu kematian berlaku di negara ini. Pada 17 Mac lalu, ada dua orang meninggal dunia (seorang lagi meninggal dunia kelmarin). Jumlah peningkatan virus ini meningkat secara mendadak. Ini isyarat yang kita beri supaya kita berfikir, kalau kita tak akur dengan perintah, apa lagi kita boleh buat? Pada saya tak ada apa boleh buat.

Satu sahaja cara terbaik iaitu kita adakan sekatan pergerakan supaya kontak antara manusia itu dapat kita halang daripada berlaku. Apabila kita dapat putuskan rangkaian penularan wabak, ini adalah langkah terbaik.

Covid-19 dikatakan ujian terhadap keupayaan kerajaan Perikatan Nasional dalam menangani impak berganda wabak ini. Adakah jika berjaya, ia akan memberi kelebihan kepada kerajaan baharu sekarang?

Ya, tepat. Covid-19 ini bukan Malaysia sahaja tetapi satu dunia. Tidak ada satu negara yang terkesan kecuali negara-negara tertentu yang tidak ada pergerakan yang bebas. Kita tahu kita ada pergerakan bebas. England ke Malaysia, Korea Selatan ke Malaysia, naik kapal terbang, kes import banyak. Jadi kalau kita dapat menghentikan dahulu yang kes import itu satu kejayaan.

Yang kedua dalam negara. Dalam negara ini ia terlalu luas. Jadi kita mohon orang-orang yang tidak selama ini faham atau dapat membantu kita, mereka yang rasa ada kontak contoh kontak kluster pertama, kedua, ketiga, ke empat, kalau dia ada kontak, datanglah kepada kami.

Hari ini sahaja saya dapati bila perintah kawalan pergerakan itu wujud, maka mereka sudah mula datang untuk saring. Dan saya yakin kita akan dapat mengatasi masalah ini sekiranya 100 peratus rakyat ini bekerjasama dengan perintah yang dikeluarkan. Kalau mereka dapat beri kerjasama dan sama-sama berdoa, bekerjasama dalam segala hal, Insya-ALLAH.

Apa nasihat Datuk Seri terhadap semua rakyat Malaysia?

Pertama sekali, bersatu padulah kita untuk menghentikan, putuskan rangkaian penularan Covid-19 ini. Bertenang, duduk di rumah. Kalau pelajar duduk asrama, duduk asrama. Ikut kata Perdana Menteri, tenang, stay home, hostel dan ambil langkah selamat dan pencegahan. Itu yang penting.