Covid-19: Penghantar makanan sanggup 'berlapar'

Pekerja penghantar makanan memakai topeng muka, sarung tangan serta cecair pencuci tangan semasa menghantar pesanan kepada pelanggan.
Pekerja penghantar makanan memakai topeng muka, sarung tangan serta cecair pencuci tangan semasa menghantar pesanan kepada pelanggan.
A
A
A

PASIR MAS - Pekerja penghantar makanan sanggup 'berlapar' bagi memenuhi permintaan orang ramai untuk menikmati hidangan lazat sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac lalu dalam usaha mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ini ekoran permintaan yang diterima oleh mereka luar biasa dari hari kebiasaannya sehinggakan mereka tidak menang tangan.

Pegawai Operasi Syarikat OdaMakan, Umairah Norrizan berkata, sungguhpun begitu kakitangan OdaMakan tetap komited dalam melaksanakan tugas itu bagi memastikan orang ramai tidak kelaparan sepanjang tempoh tersebut.

"Biarkan kami memberi khidmat dengan syarat anda (pelanggan) berada di rumah dan patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan.

"Saya juga turut mengingatkan kepada mereka (warga OdaMakan) supaya mendapatkan rehat yang cukup dan tidak terlalu mengejar trip menghantar makanan," katanya kepada Sinar Harian.

Umairah (kanan) memberikan arahan kepada pekerja penghantar makanan di bawah Syarikat OdaMakan sebelum mereka memulakan tugas.
Umairah (kanan) memberikan arahan kepada pekerja penghantar makanan di bawah Syarikat OdaMakan sebelum mereka memulakan tugas.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut OdaMakan turut membekalkan topeng, sarung tangan dan cecair pencuci tangan bagi memastikan kakitangan tidak terdedah kepada bahaya.

Katanya, aspek kebersihan turut diberikan keutamaan supaya mereka sentiasa kekal cergas.

Artikel Berkaitan:

"Kita galakkan kakitangan OdaMakan supaya selalu mencuci tangan dan berada dalam keadaan bersih sebelum, semasa dan selepas membuat penghantaran.

"Tidak cukup dengan itu, pembayaran untuk pembelian makanan dibuat secara dalam talian dalam usaha mengekang penularan Covid-19," katanya.

Umairah berkata, OdaMakan memulakan perkhidmatannya bermula jam 9 pagi hingga 7 malam sebagaimana peraturan yang telah ditetapkan.

Katanya, perkhidmatan tersebut meliputi kawasan Kota Bharu, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Kubang Kerian dan Pasir Tumboh.

"Perkhidmatan ini juga berlangsung di Terengganu, Kedah dan Perak serta Langkawi," katanya.

Orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan ini boleh memuat turun sistem ini secara percuma menerusi Play Store atau App Store dengan carian OdaMakan.