Sedia hadapi ancaman

No Image Caption
A
A
A

PADA 23 Februari 2020 genap 70 tahun yang lalu berlakunya tragedi Bukit Kepong di mana dalam kejadian tersebut Balai Polis Bukit Kepong telah diserang oleh 180 orang komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 manakala kekuatan pihak polis hanya 25 anggota diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd Shah.

Selain itu, dua orang isteri anggota polis turut bertempur apabila mengetahui suami mereka terkorban. Akhirnya seramai 25 orang terkorban termasuk Sarjan Jamil, polis bantuan serta isteri anggota. Hanya empat anggota polis dan beberapa ahli keluarga yang terselamat.

Balai Polis Bukit Kepong telah dibakar oleh komunis. Kematian dalam kalangan komunis adalah 40 orang. Pada masa itu negara sedang menghadapi cabaran darurat menentang ancaman komunisme.

Di peringkat antarabangsa negara berdepan dengan ancaman keselamatan tradisional seperti Perang Dingin atau lebih dikenali sebagai Cold War yang melibatkan persaingan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Soviet Union. Kedua-dua kuasa itu telah melancarkan perang proksi seperti Perang Korea serta Perang Afghan.

AS dan Soviet Union telah memberi sokongan ketenteraan kepada negara-negara sekutu masing-masing. Semasa zaman 1970-an, pemimpin negara seperti Tun Abdul Razak Hussein serta Tun Hussein Onn terpaksa menghadapi ancaman tradisional dari Indo-China seperti Perang Vietnam serta pencerobohan Vietnam ke atas Kemboja.

Ketika itu juga teori Domino telah dikemukakan. Idea penyebaran ideologi komunisme serta kejatuhan satu demi satu negara-negara bukan komunis di rantau Asia Tenggara seperti Thailand, Filipina, Singapura serta Malaysia amat popular dalam kalangan strategis.

Perang Dingin telah tamat serta teori Domino tidak berlaku. Bagaimanapun, pengalaman lampau tetap menjadi peringatan dan pengajaran kepada semua warganegara Malaysia bahawa keselamatan negara sentiasa perlu dipelihara secara rapi.

Jasa anggota keselamatan seperti polis dan tentera tidak harus dilupakan kerana tanpa pengorbanan mereka, negara tidak akan mencapai kestabilan dan kemakmuran. Amalan komunisme bertentangan dengan kepercayaan dan budaya masyarakat tempatan tidak kira mana-mana kaum dan agama.

Artikel Berkaitan:

Walaupun pada masa kini pemberontakan bersenjata komunis sudah tiada namun ini tidak bererti negara bebas daripada sebarang ancaman. Malah ancaman bukan tradisional mempunyai risiko yang tinggi.

Ancaman bukan tradisional boleh didefinisi sebagai bentuk ancaman yang datang daripada pelaku bukan negara seperti kumpulan pengganas, penjenayah transnasional, lanun, kumpulan pelampau.

Selain itu, jenis ancaman tidak terhad kepada pencerobohan tentera asing tetapi ia merangkumi ancaman seperti penularan virus serta penyebaran wabak penyakit yang mampu menjejaskan kesihatan, keselamatan siber, keganasan, keselamatan tenaga dan alam sekitar.

Ancaman bukan tradisional tidak hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan. Oleh demikian, untuk memerangi ancaman bukan tradisional memerlukan kerjasama semua pihak termasuk mereka yang berada dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Pada 1994, dalam Laporan United Nations Development Programme (UNDP) yang disediakan oleh Mahbub ul Huq telah memberi definisi baharu kepada konsep ‘keselamatan’.

Laporan tersebut telah memperkenalkan konsep Keselamatan Insan atau Human Security di mana keselamatan tidak harus terhad kepada aspek ketenteraan sahaja sebaliknya diperluaskan ke semua aspek kehidupan manusia yang merangkumi tujuh aspek iaitu keselamatan makanan, keselamatan peribadi, keselamatan masyarakat, keselamatan kesihatan, keselamatan politikal, keselamatan ekonomi dan keselamatan alam sekitar.

Selaras dengan Konsep Keselamatan Insan, idea ‘bebas daripada ketakutan’ atau freedom from fear dan ‘bebas daripada kehendak’ atau freedom from want.

Bebas daripada ketakutan menitikberatkan keselamatan dan pelindungan daripada keganasan manakala bebas daripada kehendak memberi fokus kepada pelindungan daripada ancaman penularan virus, wabak penyakit, masalah kebuluran dan bencana alam.