46 rakyat Malaysia dari Iran dijangka tiba di tanah air hari ini

kamaruddin
kamaruddin
A
A
A
PUTRAJAYA - Seramai 46 rakyat Malaysia bersama lapan warga Singapura serta seorang warga Indonesia yang menaiki pesawat sewaan khas Air Asia dari Tehran, Iran dijangka tiba di Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pesawat itu turut membawa 15 krew penerbangan serta lapan petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Hasil perbincangan menerusi sidang video antara Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan Menteri Luar Negeri Indonesia, Ibu Retno Marsudi semalam (kelmarin) dan menerusi perbualan telefon dengan Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Vivian Balakrishnan 11 Mac lepas serta meraikan semangat kerjasama Asean, Malaysia bersetuju untuk membantu membawa pulang lapan rakyat Singapura serta seorang rakyat Indonesia dari Iran.

"Kesemua mereka dijangka tiba di Kuala Lumpur pada Ahad, 22 Mac 2020 jam 6.10 pagi menaiki pesawat sewaan khas Air Asia yang telah berlepas ke Tehran pada jam 11.45 pagi tadi (semalam)," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar Negeri berkata, bagi urusan repatriasi dari Itali pula, perancangan awalnya melibatkan seramai 82 rakyat Malaysia berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Rome.

"Kesemua mereka sepatutnya tiba di Kuala Lumpur Isnin ini (esok) namun, Wisma Putra dimaklumkan oleh Kedutaan Malaysia di Itali bahawa Italian Civil Aviation Authority (ENAC) telah membatalkan kebenaran mendarat untuk semua pesawat termasuk pesawat sewaan khas yang sepatutnya membawa pulang rakyat Malaysia dari Itali ini," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, Wisma Putra sedang bertungkus-lumus termasuk berunding dengan Kerajaan Itali bagi memberi kebenaran khas untuk meneruskan urusan repatriasi dari Itali dengan secepat mungkin.

Sementara itu, katanya, seramai 1,116 rakyat Malaysia yang terkandas di India akan dibawa pulang ke Malaysia dalam waktu terdekat.

Menurutnya, mereka dijangka dibawa pulang menggunakan enam buah pesawat Air Asia jenis A320 dengan kos sewaan berjumlah RM1.05 juta
Artikel Berkaitan:


Bagaimanapun, katanya, kesemua kos itu ditaja sepenuhnya parti MIC.