Detik genting Malaysia

A
A
A

JANGKITAN Covid-19 sudah diisytiharkan sebagai pandemik dan menimbulkan kebimbangan seluruh dunia. Namun ini bukanlah satu-satunya wabak menggerunkan berkaitan sistem pernafasan yang pernah dihadapi manusia.

Pada tahun 1918, dunia berhadapan pandemik Spanish Flu yang mengorbankan sekitar 50 juta orang. Jumlah kematian itu lebih lebih tinggi daripada korban Perang Dunia Pertama yang baru berakhir ketika itu.

Selain Spanish Flu, dunia juga pernah berhadapan pandemik virus H2N2 (1957-1958) yang mengakibatkan kematian sekitar satu juta orang di seluruh dunia. Pada 1968 muncul pandemik virus H3N2 juga mengakibatkan kematian sekitar sejuta orang di seluruh dunia.

Pada 2019, dunia berhadapan pandemik virus H1N1 atau lebih dikenali sebagai selesema babi dan hampir menyerupai virus Spanish Flu. Pandemik itu mengakibatkan kematian 100,000 orang di seluruh dunia.

Sekarang dunia berada dalam kecemasan dan berjaga-jaga akibat pandemik Covid-19. Covid-19 sangat membimbangkan kerana ia merebak begitu cepat.

Menurut jangkaan, sebarang penemuan vaksin untuk Covid-19 paling awal adalah pada 2021, maka tidak mustahil ia akan memakan korban lebih besar jika tidak dikawal.

Justeru, tindakan kerajaan membuat kuarantin besar-besaran melalui Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari merupakan satu langkah berani walaupun agak terlewat.

Pada penghujung Januari lalu beberapa pemimpin parti UMNO telah menggesa kerajaan menggantung visa pelancong China, namun syor itu dipandang remeh oleh kerajaan Pakatan Harapan. Ketika ini kita telahpun mempunyai lapan kes positif Covid-19 yang berasal dari China.Pada 31 Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai darurat kesihatan dunia.

Artikel Berkaitan:

TindakanKita lihat sepanjang Februari juga tiada langkah kawalan dan persediaan yang serius dilaksanakan oleh kerajaan terutama mewajibkan semua yang masuk ke negara ini menjalani ujian Covid-19 dan membatalkan acara antarabangsa.

Hanya Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Namun panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan juga menunjukkan mereka tidak bersedia sepenuhnya apabila ia berubah-ubah dalam beberapa jam.

Hari pertama pelaksanaan bukan sahaja tiada taklimat daripada jurucakap kerajaan, malah Perdana Menteri terpaksa muncul pada sebelah malam merayu rakyat tinggal di kediaman masing-masing.

Ini bukanlah salah rakyat sepenuhnya apabila arahan awal tidak begitu jelas termasuk sebahagian pelajar universiti diarah pulang ke rumah masing-masing.

Pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan baru kerajaan melantik Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai jurucakap. Setakat ini kerajaan telah berjaya memperbaiki kelemahan awal walaupun tampak sedikit terlewat.

Namun bukan ini sahaja masalah kerajaan. Krisis ini datang ketika kewangan kerajaan juga berada dalam keadaan tenat. Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah menyebabkan kerajaan terlalu bergantung kepada pendapatan hasil minyak.

Dua kali Lim Guan Eng membentangkan belanjawan bersandarkan harga minyak AS$70 (2019) dan AS$62 setong (2020), namun tidak pernah harga minyak menepati anggaran belanjawan. Ini menyebabkan negara terpaksa berhutang lebih banyak bagi memenuhi keperluan belanjawan yang dibuat.

Hari ini ketika dilanda krisis pandemik Covid-19, harga minyak dunia telah jatuh separuh daripada anggaran Belanjawan 2020.

Keadaan ini pasti memberi kesan besar kepada pelaksanaan dan mungkin memaksa kerajaan membentangkan belanjawan baharu atau membuat lebih banyak pinjaman.

Ekonomi negara berada dalam keadaan genting sekarang kerana sikap acuh tidak acuh kerajaan lalu dalam menangani Covid-19 dan membuat keputusan memansuhkan GST untuk popular.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)