Buaya disyaki baham warga emas ditembak mati

Laporan berita Sinar Harian berkaitan penemuan organ dalaman dan kaki dipercayai milik warga emas berkenaan.
Laporan berita Sinar Harian berkaitan penemuan organ dalaman dan kaki dipercayai milik warga emas berkenaan.
A
A
A

SARIKEI - Seekor buaya yang dipercayai membaham seorang lelaki warga emas di Sungai Mekam, Sare dekat sini pada Khamis lepas telah ditembak mati oleh seorang penduduk di kawasan itu malam semalam.

Buaya sepanjang 4.5 meter itu ditembak tuai rumah (ketua rumah panjang) Rumah Abak pada kira-kira 8.20 malam menggunakan senapang patah ketika berada di lubuknya di sungai tersebut sebelum bangkainya dibawa ke darat dengan bantuan dua anggota keluarga Lingai Rabong, 78, yang menjadi mangsa reptilia itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, penduduk rumah panjang itu kemudian membelah perut buaya tersebut dan menemui beberapa anggota badan serta organ dalaman manusia dipercayai milik mangsa di dalamnya.

“Pihak polis juga telah dimaklumkan berhubung perkara ini dan saya difahamkan sedang menyiasat lanjut kes ini,” katanya ketika dihubungi.

ARTIKEL BERKAITAN: Organ dalaman, kaki dipercayai milik warga emas diserang buaya

Berikutan penemuan itu, Mahmudin berkata pasukan operasi mencari mangsa telah menghentikan usaha mereka pada kira-kira 11 pagi dan penduduk rumah panjang dikatakan sudah menanam bangkai reptilia tersebut.

Lingai dilaporkan keluar rumah seorang diri mencari umbut nipah di tebing sungai itu pada 7.30 pagi Khamis lepas sebelum beberapa penduduk kampung mendakwa ternampak seekor buaya mengheret satu mayat yang dipercayai Lingai menggunakan mulutnya menuju ke tengah sungai.-Bernama

Artikel Berkaitan: