Operasi perniagaan terhad mula dilaksana di Kelantan, Terengganu

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa negeri seluruh negara telah mula mengetatkan penguatkuasaan, dengan hanya memberi kebenaran beroperasi kepada peruncit dan premis perniagaan tertentu, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuatkuasa ketika ini.

Kebenaran itu hanya diberikan kepada beberapa pihak antaranya kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam, yang boleh beroperasi sehingga waktu-waktu tertentu mengikut negeri masing-masing.

Kelantan dan Terengganu menjadi negeri terawal menguatkuasakan arahan, dengan membenarkan operasi premis bermula masing-masing bermula jam 7 pagi hingga 7 malam atau 7 pagi hingga 6 petang sahaja, selaras dengan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP).

Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) membenarkan semua pasar awam beroperasi dari jam 7 pagi hingga 2 petang, manakala bagi premis lain beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam, seperti yang termaktub dalam notis yang dikeluarkan semalam.

Ia membabitkan premis makanan terhad, perkhidmatan penghantaran (delivery), pandu lalu (drive thru) dan bungkus (take away), selain pasar raya, kedai runcit, kedai sebaneka 24 jam, stesen minyak, klinik dan farmasi.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) juga turut mengaplikasikan arahan yang sama, malah turut membenarkan pusat pembaikan dan servis kenderaan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 2 petang sahaja, selain menetapkan semua klinik hanya dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 9.30 malam sahaja, manakala pasar borong Gong Pauh, dibenarkan beroperasi jam 3 pagi hingga 9 pagi.

Arahan yang sama juga bakal diikuti negeri-negeri lain untuk dikuatkuasakan pada esok, seperti di Selangor apabila arahan itu dikeluarkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari agar restoran-restoran dan kedai makan 24 jam, mematuhi arahan dikeluarkan sepanjang tempoh PKP sehingga 31 Mac depan.

Dalam satu kenyataan beliau memaklumkan, penyelarasan tindakan perlu diambil bagi tujuan menguatkuasakan tindakan-tindakan tambahan, susulan Perintah Kawalan Pergerakan dan Kerajaan Selangor memandang serius akan kegagalan segelintir masyarakat, yang masih mengabaikan arahan duduk di rumah selain daripada keperluan kritikal yang telah digariskan.

Artikel Berkaitan:

Turut membuat langkah yang sama adalah kerajaan negeri Melaka, iaitu semua premis kedai makan termasuk pandu lalu, kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam, diarahkan tutup bermula jam 7 petang hingga 7 pagi.

“Semua pasar raya pula ditutup bermula 7 petang. Gerai penjaja termasuk trak makanan ditutup 6 petang hingga 7 pagi. Stesen minyak beroperasi seperti biasa mengikut lesen premis diberikan, namun bahagian kedai serbaneka ditutup 8 malam hingga 6 pagi.

"Pasar awam ditutup bermula 2 petang hingga 6 pagi, manakala pasar malam, pasar pagi dan pasar tani tidak dibenar beroperasi," menurut kerajaan negeri dalam satu kenyataan.

Senario yang sama pastinya dapat dilihat di Pulau Pinang, apabila kerajaan negeri mengarahkan gerai-gerai penjaja, termasuk penjual makanan tepi jalan di Pasar Awam Air Itam, Bayan Baru, Jalan Perak dan Jelutong ditutup mulai esok, bagi membendung penularan virus koronavirus (Covid-19).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Yew Tung Seang berkata, langkah itu diambil berikutan masih terdapat lagi orang ramai yang pergi ke kawasan terbabit, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan telah dikuatkuasakan pada Rabu.

Yew berkata mulai esok, MBPP juga akan memulakan tindakan penguatkuasaan terhadap premis-premis perniagaan yang masih berdegil dan ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan, termasuk mengenakan tindakan sita dan menarik lesen perniagaan.

Isnin lepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19, yang antaranya melarang secara menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara, termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.-Bernama