Empat lagi kematian Covid-19 direkodkan

No Image Caption
A
A
A
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kira-kira dua jam selepas pengumuman kes kematian ke empat akibat Covid-19, Malaysia mencatatkan pertambahan empat lagi kematian menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di negara ini adalah sebanyak lapan kes setakat ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, kes kematian kelima adalah melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun warga tempatan yang telah dimasukkan ke Borneo Medical Centre, Isnin lalu (16 Mac) setelah mengalami demam dan batuk selama lima hari.

Menurutnya, pada hari kedua, wanita itu mengalami kesukaran bernafas namun keluarga tidak mempersetujui dia diberi bantuan alat pernafasan.

Katanya, wanita itu kemudiannya dibawa pulang oleh keluarga pada Selasa (17 Mac) dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya (18 Mac).

"Beliau (wanita itu) mempunyai kontak dengan dua orang lagi yang disahkan positif iaitu anak lelaki dan anak perempuan beliau.

"Kes kematian keenam pula melibatkan anak perempuan kes kematian kelima. Kes ini melibatkan seorang wanita warga tempatan berumur 40 tahun yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac (Rabu lalu) setelah mengalami demam dan batuk sejak 17 Mac.

"Beliau disahkan positif Covid-19 pada 19 Mac (kelmarin) dan diberi bantuan pernafasan pada hari yang sama selepas didapati keadaan kesihatan beliau semakin merosot.

“Beliau disahkan meninggal dunia 1.20 tengah hari pada 21 Mac (hari ini),” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengenai kematian ketujuh, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 57 tahun, mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif Covid-19 daripada kluster tabligh.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lelaki itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada Rabu lalu (18 Mac) selepas mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu.

"Keadaan kesihatan lelaki itu kemudiannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokannya sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang hari ini (21 Mac)," katanya.

Sementara itu, bagi kes kematian kelapan pula membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 69 tahun daripada kluster tabligh.

Dr Noor Hisham berkata, lelaki itu telah dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac (Isnin lalu) selepas mengalami gejala demam sejak 12 Mac.

“Beliau dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac (Rabu lalu) selepas didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokannya.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 21 Mac (hari ini) pada 4 petang,” katanya.

Dalam hantaran di Facebooknya itu, Dr Noor Hisham bersama warga Kementerian Kesihatan (KKM) turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa.