'Bangga abang banyak berdakwah sepanjang hayat'

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] "Kami bangga kerana arwah abang gigih menyambung kerja-kerja Rasulullah SAW dan ALLAH lebih sayangkannya," kata adik kepada mangsa keempat yang meninggal dunia akibat Covid-19 pagi tadi.

Mohd Faizol Ab Aziz, 40, berkata, abangnya, 51, disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka selepas dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, Allahyarham abangnya antara ahli jemaah tabligh Malaysia yang terlibat dengan perhimpunan di Masjid Sri Petaling, baru-baru ini.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan ALLAH atas pemergian abangnya, malah bangga apabila arwah banyak melakukan dakwah sepanjang hayatnya.

"Arwah sibuk berdakwah. Kali terakhir saya menemuinya selepas dia pulang daripada melakukan ibadah haji tahun lalu.

"Walaupun tidak berjumpa agak lama, tetapi saya, adik- beradik termasuk arwah sentiasa berhubung melalui aplikasi WhatsApp untuk bertanya khabar," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Mohd Faizol berkata, dia mengetahui arwah mengikuti himpunan tabligh di Masjid Sri Petaling dan memintanya agar segera melakukan ujian saringan bagi mengesan jangkitan Covid-19.

Jelasnya, perkara itu turut dimaklumkan kepada adiknya yang juga tinggal di Melaka bagi memastikan arwah membuat pemeriksaan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Pada 12 Mac lalu, arwah ada memaklumkan yang dia demam, batuk, sakit tekak dan mengalami sesak nafas sebelum dibawa ke Hospital Melaka seterusnya disahkan positif Covid-19.

"Isteri arwah abang turut dikuarantinkan kerana mempunyai kontak fizikal dengan arwah dan kini sedang dirawat di hospital," katanya.

Menurutnya, sebelum itu, arwah memaklumkan dia sudah semakin pulih melalui aplikasi WhatsApp sebelum mengalami gangguan pernafasan seterusnya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada Selasa lalu.

Katanya, difahamkan selama tiga hari arwah abang berada di ICU sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Chohong, Melaka petang tadi.