Sarawak catat kematian ketiga akibat Covid-19

A
A
A

KUCHING – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melaporkan dua lagi kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah mangsa terkorban wabak seramai enam orang dalam negara.

Dalam kenyataannya hari ini, JPBNS menjelaskan dua korban itu membabitkan ibu dan anak perempuan dari satu keluarga yang sama, yang masing-masing berusia 79 dan 40 tahun.

Katanya, mangsa pertama keluarga itu meninggal dunia pada 2 pagi pada Rabu lalu (18 Mac), manakala mangsa kedua meninggal pada 1 petang, hari ini.

“Seorang lagi ahli keluarga ini masih dalam rawatan di Hospital Umum Sarawak di Kuching dan memerlukan bantuan pernafasan mekanikal.

“Pelaporan kes kematian yang pertama akibat Covid-19 dari keluarga ini lambat diterima dari hospital swasta yang merawat kes kerana menunggu keputusan ujian makmal yang dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan itu.

Sarawak hari ini mencatatkan pertambahan 10 lagi kes baharu Positif Covid-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 68 kes sejak pertama dilaporkan pada 13 Mac.

Dua kes baharu dirawat di Hospital Umum Sarawak, lima kes di Hospital Sibu, dua di Hospital Bintulu, manakala seorang meninggal dunia di Kuching semasa keputusan ujian pengesahan diperoleh.

Artikel Berkaitan: