Penjaja di empat 'hotspot' dilarang berniaga.

Orang ramai masih berasak di Jelutong walaupun arahan Perintah Kawalan Pergerakan dilancarkan.
Orang ramai masih berasak di Jelutong walaupun arahan Perintah Kawalan Pergerakan dilancarkan.
A
A
A

GEORGETOWN - Semua penjaja tepi jalan di empat hotspot di kawasan pulau telah diarahkan supaya menghentikan perniagaan mereka bermula esok.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, empat kawasan itu adalah di Air Itam; Bayan Baru, Jalan Perak dan Jelutong.

Menurutnya, penjaja di empat kawasan itu didapati masih berdegil walaupun pihak berkuasa telah memberi nasihat berhubung Perintah Kawalan Pergerakan sejak tiga hari lalu.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, sebanyak 80 peratus telah mematuhi arahan dan segelintir masih berdegil.

"Oleh itu, kita mengambil keputusan bahawa semua penjaja di tepi jalan di empat lokasi ini diarahkan tutup bermula esok. Bagaimanapun, Pasar Awam Jelutong telah dikecualikan untuk penjaja sayur kerana tiada gerai sayur di dalam premis pasar.

"Sekiranya mereka masih ingkar, tindakan tegas akan diambil iaitu lesen perniagaan akan ditarik balik dan tindakan fizikal seperti menyita barang perniagaan, kerusi atau meja akan dilaksanakan.

"Oleh itu, saya menasihatkan semua penjaja yang terlibat di empat kawasan ini agar berhenti berniaga bermula esok," katanya pada sidang akhbar melalui live di Facebook MBPP hari ini.

Turut serta, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamud.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jagdeep berkata, sehingga hari ini, sebanyak 1,834 premis di kawasan MBPP telah diperiksa.

Penjaja tepi jalan masih beroperasi di Pasar Pagi Jelutong tadi.
Penjaja tepi jalan masih beroperasi di Pasar Pagi Jelutong tadi.

Menurutnya, antara kategori premis yang masih berdegil adalah premis makanan, binaan dan kompleks penjaja.

"Sudah empat hari kita beri nasihat dan bermula esok, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang masih berdegil.

"Sekiranya mereka masih berdegil (walaupun tindakan tegas diambil), kita akan bekerjasama dengan polis dan tentera untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Rozali berkata, sebanyak 270 premis di kawasan seberang telah diperiksa dan kebanyakannya mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Menurutnya, seramai 1,644 anggota pembersihan dengan kekuatan 167 buah kenderaan pembersihan, 267 penguat kuasa dan 2,353 kakitangan (bekerja dari rumah) bertugas setiap hari.

"Dari segi penghasilan sampah, kita dapati berlaku penurunan sebanyak 17 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan ini dijalankan. Jika dibandingkan pada 18 Mac, sebanyak 687.3 tan sampah dihasilkan berbanding semalam iaitu 568.2 tan sahaja.

"Dari penghasilan sampah ini, kita tahu orang ramai kurang keluar ke bandar dan mematuhi arahan supaya duduk di rumah. Saya berharap jumlah penghasilan sampah ini akan terus menurun dari hari ke hari," katanya.

Beliau berkata, terdapat lima daripada 30 pasar awam di kawasan seberang perlu diberi perhatian berikutan rekabentuk pasar yang tidak mematuhi jarak sosial yang ditetapkan.

"Kita tidak ada kawasan hotspot tetapi lima pasar awam perlu diberi perhatian iaitu Pasar Awam Sungai Dua; Penanti; Sama Gagah, Taman Selamat dan Kampung Baru.

"Sebelum ini, rekabentuk pasar awam ini tidak dibuat untuk jarak sosial kerana kita tidak terfikir akan berlaku perkara seperti ini yang memerlukan jarak sosial ketika pembeli membeli barang mentah. Oleh itu, kita akan memberi perhatian di semua pasar awam di kawasan seberang ini," katanya.