Covid-19: Rakyat Itali degil keluar rumah

Terdapat segelintir penduduk yang melanggar perintah lockdown dikenakan di seluruh Itali bagi membendung penularan Covid-19. - Foto Agensi
Terdapat segelintir penduduk yang melanggar perintah lockdown dikenakan di seluruh Itali bagi membendung penularan Covid-19. - Foto Agensi
A
A
A

ROM - Kedegilan orang ramai untuk mematuhi perintah lockdown yang dilaksanakan di Itali yang mempunyai populasi lebih 60 juta penduduk telah menyebabkan pihak berkuasa kini mengenakan sekatan lebih ketat.

Langkah itu dibuat di tengah-tengah usaha semakin terdesak untuk membendung penularan koronavirus (Covid-19) yang kini menyaksikan 627 kematian harian tertinggi dalam tempoh 24 jam sekali gus menjadikan angka keseluruhan kini mencecah 4,032.

Kerajaan pusat di Rom mengarahkan penutupan kesemua taman awam dan orang ramai hanya boleh melakukan aktiviti fizikal di sekitar rumah masing-masing berkuat kuasa hari ini.

"Kami perlu melakukan lebih banyak usaha untuk mencegah pandemik itu terus merebak. Tingkah laku yang betul adalah perkara penting untuk memenangi pertempuran ini," tegas Menteri Kesihatan, Roberto Speranza.

Sejak beberapa hari lalu, pihak berkuasa menyuarakan kekecewaan kerana masih ramai orang yang ingkar arahan lockdown tersebut dan keluar dari rumah walaupun diminta untuk terus tinggal di dalam kediaman kecuali bagi membeli barang keperluan.

Sekatan terbaharu itu melarang aktiviti seperti joging dan menunggang basikal yang sebelum ini dibenarkan.

"Angka kematian semakin meningkat. Apa yang kita perlu ialah orang ramai memahami tragedi yang sedang dihadapi negara ini," kata Ketua Pasukan Tindak Balas Koronavirus di Emilia-Romagna, Sergio Venturi.

Terdahulu, pihak berkuasa memaklumkan lebih 53,000 saman telah dikeluarkan terhadap individu yang melanggar perintah lockdown tersebut.

Artikel Berkaitan:

Khamis lalu, Itali mengatasi China selepas negara Eropah itu merekodkan lebih 3,400 kematian.

Sementara itu, kajian terbaharu menunjukkan lebih 70 peratus kematian Covid-19 di Itali terdiri daripada golongan lelaki, namun saintis mengakui mereka keliru dengan jurang jantina tersebut.

"Kurang daripada 1,000 daripada pesakit meninggal dunia ialah wanita. Selain itu, lelaki juga mudah dijangkiti dan golongan tersebut meliputi 60 peratus daripada kes positif Covid-19," jelas laporan Agensi Penyelidikan Kesihatan Awam di Rom.

Sebelum ini, analisis awal mendapati angka tersebut adalah lebih tinggi dengan 80 peratus kematian melibatkan golongan lelaki.

Menurut saintis, mereka tidak tahu kenapa wanita kurang berisiko meninggal dunia, namun mereka tidak menolak kemungkinan golongan tersebut mempunyai sistem imun tubuh lebih kuat dan kurang berisiko mengalami masalah kesihatan untuk tempoh jangka panjang.

Di China, penyelidik menuding jari menyalahkan lelaki lebih terdedah dengan penyakit kerana tabiat kurang sihat seperti pengambilan minuman alkohol dan merokok, namun ia adalah faktor budaya yang mungkin berbeza di negara lain. - Agensi