UMK agih makan percuma kepada penuntut

Profesor Dr Noor Azizi (tengah) bersama warga UMK turut berkempen menyeru penuntut dan orang ramai untuk terus berada di rumah dalam tempoh 14 hari bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.
Profesor Dr Noor Azizi (tengah) bersama warga UMK turut berkempen menyeru penuntut dan orang ramai untuk terus berada di rumah dalam tempoh 14 hari bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada 1,000 penuntutnya yang berada di kolej kediaman dan rumah sewa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata, edaran makanan percuma sebanyak dua kali sehari tersebut diagihkan kepada penuntut bermula hari ini.

Menurutnya, 1,000 penuntutnya yang masih berada di universiti itu termasuklah 749 penuntut di kolej kediaman UMK Kampus Kota dan 241 penuntut di kolej kediaman UMK Kampus Jeli.

“UMK mengambil inisiatif menyediakan bantuan makanan percuma kepada penuntut yang berada di kolej kediaman dan tidak pulang ke kampung halaman kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac 2020.

“Penyediaan makanan percuma ini disediakan mengikut dua sesi iaitu pada jam 11 pagi dan 6.30 petang serta agihan dilakukan secara berhemah dengan pemakaian topeng muka dan penggunaan ‘hand sanitizer’ bagi mengelak jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts Dr Zaliman Sauli dan Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Muhammad Annuar Ismail.

Profesor Noor Azizi berkata, usaha itu bertujuan meringankan bebanan dan menghadkan pergerakan penuntut dalam mematuhi arahan serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Kementerian Kesihatan (KKM) supaya terus kekal berada di dalam kampus.

“Saya menyeru kepada seluruh penuntut supaya mematuhi arahan dan terus kekal berada di dalam kampus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

“Semua penuntut perlu menggunakan ruang dan masa yang ada untuk mengulangkaji pelajaran dan berharap keputusan peperiksaan yang baik pada semester ini,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tempoh perintah itu juga pihak UMK membuka Bilik Gerakan Covid-19 UMK yang beroperasi 24 jam sebagai pusat rujukan penuntut.

“Sebarang pertanyaan atau bantuan boleh berhubung dengan pegawai yang bertugas,” katanya.

Rabu lalu Sinar Harian melaporkan UMK mengagihkan 500 botol cecair pembasmi kuman yang dihasilkan sendiri oleh pasukan penyelidik universiti itu kepada agensi setempat.

Produk yang dinamakan UMK Care Hand Sanitizer (HS) itu adalah usaha mengekang penularan Covid-19.