Semua majlis nikah di Perak ditangguh serta-merta: JAIPk

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengarahkan semua majlis akad nikah dalam tempoh kawalan wabak koronavirus (Covid-19) ini ditangguhkan serta-merta.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin dalam satu kenyataan berkata, penangguhan itu dibuat bermula hari ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

"Dukacita dimaklumkan bahawa semua majlis akad nikah sepanjang tempoh kawalan Covid-19 hendaklah ditangguhkan.

"Pegawai tadbir agama diminta mengambil maklum arahan ini dan membuat tindakan selanjutnya mengikut daerah masing-masing dengan memaklumkan kepada jurunikah di bawah kawalan masing-masing," katanya.

Difahamkan, perintah berkenaan dikeluarkan bagi melindungi semua pihak yang terlibat termasuk juru nikah daripada penularan wabak Covid-19.

Selasa lalu, JAIPk menetapkan majlis akad nikah hanya dibenarkan dilaksanakan di premis persendirian tanpa melibatkan tempat awam seperti masjid, surau dan dewan.

Ia bagi mematuhi langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bermula Rabu lalu.

Artikel Berkaitan: