Semakan tarif air tampung projek kejuruteraan bekalan air

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menegaskan semakan kadar tarif air di Pulau Pinang adalah untuk kepentingan rakyat.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, semakan itu disalurkan bagi membiayai projek kejuruteraan bekalan air yang penting untuk masa depan.

Menurutnya, sekiranya semakan kadar tarif diluluskan Kerajaan Pusat, semua hasil tambahan dari kajian tarif air akan dilaburkan semula ke dalam projek di Pulau Pinang.

“Ini untuk kepentingan dan kebaikan rakyat negeri ini juga. Sejak 1999, Pulau Pinang tidak pernah bercadang untuk melaksanakan catuan air. PBAPP sentiasa berusaha untuk terus mendahului permintaan air di Pulau Pinang.

“Sejak 2014 hingga 2017, kekurangan air dilaporkan berlaku di beberapa negeri antaranya Putrajaya, Selangor, Kedah dan Perak. Namun, Pulau Pinang tiada pelaksanaan catuan air walaupun berlaku kemarau berpanjangan beberapa tahun lalu. Kita perlu sentiasa berfikir tentang masa depan,” katanya.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, perbadanan itu perlu meningkatkan dana yang mencukupi untuk merealisasikan projek kejuruteraan bekalan air Pulau Pinang untuk masa depan.

“Tanpa projek-projek ini, Pulau Pinang menghadapi risiko krisis air yang lebih tinggi ketika musim kemarau berlanjutan yang berbeza pada setiap tahun. Pada 2017, purata permintaan air di negeri ini adalah 826 juta liter sehari (MLD).

“Menjelang 2050, permintaan air di Pulau Pinang diunjurkan meningkat 128 peratus pada 1,884 MLD. Ia berdasarkan Kajian Pelan Induk bagi air minum di Pulau Pinang 2050 yang ditauliahkan pada 2009,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, PBAPP merancang melabur RM501 juta dalam projek bekalan air untuk manfaat Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun (2019 hingga 2021). “Ia melibatkan empat projek utama iaitu saluran paip berkembar dasar laut Butterworth - Pulau Pinang, Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

“Ia juga bagi membiayai projek menaik taraf kemudahan rawatan air sedia ada serta projek saluran paip baru dan penggantian saluran paip pengurusan meminimumkan peratus air tanpa hasil (NRW),” katanya.

Sebelum ini, Kon Yeow mengumumkan kadar tarif air di Pulau Pinang akan naik selaras dengan pengumuman kerajaan dalam usaha untuk menstrukturkan semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Menurutnya, kenaikan itu berkemungkinan akan mencecah sehingga 20 peratus atau lebih DAN sekiranya tarif baharu itu digunakan, kerajaan negeri berkemungkinan akan memansuhkan surcaj pemuliharaan air (WCS) sebanyak 48 sen bagi setiap 1,000 liter.

Sebelum ini, Pulau Pinang mengenakan WCS sebanyak 48 sen setiap 1,000 liter bagi penggunaan domestik melebihi 35,000 liter sebulan.

Ketika ini, purata tarif air domestik Pulau Pinang untuk 35,000 liter sebulan pertama masih yang terendah di Malaysia pada 32 sen setiap 1,000 liter.