IWK laksana enam langkah cegah Covid-19

A
A
A

KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) melaksanakan langkah pencegahan proaktif bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

IWK dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kaunter-kaunter pertanyaan dan pembayaran di Ibu Pejabat Kuala Lumpur, pusat-pusat khidmat pelanggan di seluruh negara, UTC serta pejabat Agensi Perakuan ditutup sementara bermula 20 Mac sehingga 31 Mac ini.

Menurut kenyataan itu, pelanggan masih boleh menghubungi talian perkhidmatan pelanggan di 03-2083 2828 (8 pagi – 9 malam) atau emel kepada care@iwk.com.my untuk sebarang pertanyaan atau pengebilan.

"Pelanggan juga boleh menghubungi talian berikut bagi perkhidmatan operasi IWK melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-5396172, 019-3034172, 019-3009973 dan 013-3951200 (pengosongan tangki septik).

"IWK turut melakukan kerja-kerja disinfeksi di Ibu Pejabat Kuala Lumpur pada 19 Mac lalu, diikuti beberapa pejabat operasi yang lain bagi memastikan keadaan yang bersih dan selamat," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, penyaringan kesihatan juga dilakukan kepada semua kakitangan dan pelawat selain mengamalkan jarak selamat sosial seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan termasuk di ruang terhad seperti lif.

"IWK Melaksanakan koordinasi jadual penggiliran kerja bagi mengurangkan penglibatan kakitangan pada tahap minima sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan ini.

"Peralatan berkaitan sanitasi dan Peralatan Pelindungan Individu (PPE) seperti sarung tangan dan topeng muka disediakan untuk diedarkan kepada kakitangan," menurut kenyataan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Pelanggan digalakkan melakukan pembayaran bil IWK menerusi laman web rasmi IWK, aplikasi mudah alih IWK, perbankan internet dan JomPAY.

Menurut IWK, sehingga kini tiada sebarang kes Covid-19 ke atas kakitangannya yang direkodkan dan berharap untuk mengekalkan keadaan tersebut sebaiknya.

"Kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan ke atas 6,952 loji rawatan kumbahan awam dan 1,236 stesen pam akan diteruskan seperti biasa dengan kadar pengurangan pekerja di lapangan sebanyak 50 peratus," kata kenyataan itu.

Layari laman web www.iwk.com.my atau hubungi talian perkhidmatan pelanggan kami untuk sebarang keterangan lanjut.