Syarikat penerbangan Malaysia dilapor mohon bantuan kerajaan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat penerbangan di negara ini dilaporkan memohon bantuan kewangan daripada kerajaan bagi menampung kos pengurusan dalam krisis koronavirus (Covid-19).

Laporan dalam focusmalaysia.my itu menyebut sumber industri yang enggan dikenali mendakwa telah berlaku pertemuan melibatkan ketua-ketua industri bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pertemuan dilaporkan berlangsung pada hari Ahad (15 Mac), dari jam 3 petang bagi membincangkan bantuan ekoran industri itu yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Ketua Pengawai Eksekutif syarikat yang terlibat dengan pertemuan itu adalah pengasas AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes; Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Airways Sdn Bhd Kapten Mushafiz Mustafa Bakri; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB) Kapten Izham Ismail dan anak syarikat MAB, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See.

Menurut laporan itu, setiap ketua syarikat diberikan masa setengah jam untuk membincangkan cara bagaimana untuk terus mereka bertahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Situasi getir industri penerbangan negara

Malaysia Airlines tawar cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangan

Beberapa langkah yang dicadangkan termasuk bantuan kewangan untuk kakitangan yang diberhentikan dan pelepasan cukai.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, difahamkan Tengku Zafrul juga telah memberi taklimat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Isnin berikutnya (16 Mac) mengenai intipati pertemuan bersama ketua-ketua syarikat penerbangan itu.

Bukan menjadi perkara yang mengejutkan apabila syarikat penerbangan tempatan cuba mendapatkan bantuan ketika sebahagian besar syarikat penerbangan dunia turut terjejas setelah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik.

Malaysia sendiri susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan bermula sejak Rabu lalu, telah menutup laluan antarabangsa kepada masyarakat.

Sekatan turut dibuat kepada pelancong dan pelawat asing ke dalam negara ini sehingga tamat tempoh perintah tersebut.