45 kes Covid-19 di Perak, dua dirawat di ICU

Gambar yang turut dimuat naik oleh Dr Noor Hisham di laman Facebooknya hari ini.
Gambar yang turut dimuat naik oleh Dr Noor Hisham di laman Facebooknya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat 45 kes koronavirus (Covid-19) termasuk dua pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh di Perak sehingga jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, salah seorang pesakit ICU terbabit merupakan Pakar Perubatan Perubatan Kecemasan (Emergency Medicine Physician) dari sebuah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Perak.

Menurut Dr Noor Hisyam, pesakit itu merupakan staf kesihatan KKM kedua yang memerlukan bantuan pernafasan di ICU manakala seorang lagi pesakit berusia 63 tahun merupakan peserta perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

"Kedua-dua pesakit kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil. Tiada kematian seperti mana yang ditularkan di media sosial," katanya dalam entri Facebooknya, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, katanya, petugas kesihatan KKM seluruh negara sedang berusaha sebaik mungkin dalam memberi rawatan kepada pesakit-pesakit Covid-19 serta mengesan kes-kes yang baharu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak bersama-sama berdoa agar petugas kesihatan dilindungi daripada sebarang malapetaka dan diberikan kesihatan serta kekuatan menghadapi krisis ini.

"Anda semua boleh membantu kami dengan duduk di rumah, sentiasa menjaga kebersihan diri dan beri kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan dan pihak keselamatan. Jujur lah apabila diminta maklumat. Bantu KKM dan duduk di rumah," katanya.

Artikel Berkaitan: