Najib nekad jumpa anak pencuci kereta jalanan

Najib bertemu keluarga Sukumarah di Padang Jawa.
Najib bertemu keluarga Sukumarah di Padang Jawa.
A
A
A

SHAH ALAM - Keperitan hidup pencuci kereta jalanan yang tular di media sosial baru-baru ini, S Sukumarah, 40 mendapat reaksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang membonceng motosikal bersama wakil Umno Shah Alam meluangkan masa kira-kira 30 minit di rumah sewa empat sekeluarga itu yang terletak di Padang Jawa,di sini.

Kunjungan Ahli Parlimen Pekan itu disambut Sukumarah, M Kannagi, 39 dan dua anak mereka, S Sharmini, 12 dan S Harigaran, 6, meskipun hidup serba daif tetapi, mereka begitu teruja menerima kedatangan bekas orang nombor satu negara itu.

Menurut Sukumarah, sejurus mendapat tahu Najib akan datang ke teratak usang mereka, dia melakukan upacara sembahyang dan mengemas rumah bersama isteri dan anak-anaknya.

No Image Caption

Sebaik sahaja tiba, di ruang tamu rumah sewa yang dibayar RM300 sebulan itu, Najib bertanya situasi sebenar keluarga berkenaan seperti yang dibacanya di Facebook.

Sukumarah bercerita, setiap hari selepas hantar anaknya, Sharmini ke SJKT Ladang Midlands, dia akan ke Seksyen 9 untuk mencuci kereta orang ramai yang parkir di situ.

“Waktu tengahari, saya ambil Sharmini di sekolah dan kami berdua akan pergi semula ke Seksyen 9 untuk meneruskan kerja mencuci kereta hingga jam 5 petang. Biasanya, Sharmini mengetuk kereta pelanggan dengan masih berpakaian sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Saya suruh dia tinggal di rumah dan belajar di rumah saja lepas sekolah, tapi dia nak ikut, katanya dia tahu saya dan ibunya susah, jadi ini saja yang dia boleh tolong untuk kurangkan beban mereka sekeluarga.

“Upah cuci kereta ini taklah banyak, cukup untuk kegunaan harian saja sekitar RM80 hingga RM 100 sehari dan kalau hujan cuma sedikit yang diperolehnya . Buku sekolah Sharmini juga belum mampu saya bayar, dia akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini.

No Image Caption

“Paling menyedihkan, anak lelaki saya sudah berusia 6 tahun, dia sepatutnya ke tadika tahun ini, saya dah pergi tanya yuran pendaftaran. Cikgu tadika beritahu RM480, memang saya tak mampulah kalau jumlah sebesar itu, sebab itu dia (Harigaran) masih di rumah kerana saya tak mampu untuk sediakan yuran sebanyak itu,” ceritanya kepada Najib sambil bergenang air mata.

Sejurus mendengar kisah kesusahan Sukumarah, Najib berjanji lepas ini Harigaran akan boleh ke tadika.

“Lepas ini boleh pergi tadika, saya tolong,” kata Najib disambut deraian air mata bapa dua cahaya mata itu.

Dalam pada itu, Najib berkata, kedatangannya ke kediaman Sukumarah sekeluarga yang berdepan tekanan hidup susulan mendapat maklumat melalui Facebook.

“Saya dapat tahu mereka sekeluarga menghadapi tekanan hidup yang agak berat dengan punca pendapatan yang tidak tetap, malah Sukumarah juga tidak boleh melakukan kerja berat selepas kemalangan jalan raya.

No Image Caption

“ Sebab itulah saya terpanggil untuk datang hari ini untuk memberi sedikit bantuan, supaya keluarga mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa lagi.

“Dengan kedatangan saya ini, saya harap orang ramai akan tampil membantu keluarga ini dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Sebelum ini, kisah Sharmini yang mengetuk kereta seorang pengguna Facebook Adi Kamal untuk menawarkan khidmat cuci kereta telah telah tular, sejurus kisah ini menjadi topik bualan di media sosial hingga mendapat perhatian Najib.

Kata Najib, akhir-akhir ini beliau aktif di media sosial, jadi banyak kisah politik dan rakyat dibacanya setiap hari.

Dalam perkembangan lain, Sukumarah berterima kasih kepada Adi Kamal yang telah mempopularkan kisah hidupnya sekeluarga sehingga mereka mendapat banyak bantuan dan dikunjungi Najib.