Covid-19: 40 kes positif baharu di Singapura

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SINGAPURA- Singapura mencatat 40 lagi kes positif baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 385 di republik ini.

Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kementerian Kesihatannya Kenneth Mak berkata, daripada 40 kes baharu itu, 30 adalah kes dari luar dan bakinya adalah 10 kes tempatan.

"Daripada 30 kes dari luar itu, 22 daripadanya adalah rakyat Singapura dan pemastautin tetap sementara tujuh lagi adalah pemegang pas jangka panjang dan seorang lagi pelawat jangka pendek," katanya pada sidang akhbar di sini yang dipengerusikan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong dan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.

Kenneth berkata, kes dari luar yang baharu mempunyai pelbagai sejarah perjalanan ke negara-negara berbeza seperti United Kingdom, Indonesia, Jerman dan juga Amerika Syarikat.

Sementara itu, Lawrence berkata, Singapura bakal melaksanakan langkah penjarakkan selamat yang lebih tegas bagi mengurangkan lagi jangkitan Covid-19 di peringkat tempatan terutamanya segmen populasinya yang mudah terdedah kepada jangkitan.

Antaranya mulai sekarang sehingga 30 Jun tahun ini, semua acara dan perhimpunan yang dihadiri 250 peserta atau lebih dalam satu-satu masa perlu ditangguh.

“Ini adalah lanjutan daripada peraturan sebelum ini untuk acara hiburan, kebudayaan dan sukan yang mempunyai jualan tiket dihadkan kepada kurang daripada 250 peserta," kata Lawrence.- Bernama

Artikel Berkaitan: