X

Kindly register in order to view this article
!

Bukan masa untuk bantah

A
A

WALAUPUN kita masih mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pendapat, namun ada ketikanya kita perlu banyak mendengar bukannya banyak bercakap terutamanya sewaktu keadaan yang cukup genting.

Pada ketika negara sedang dilanda gelombang kedua wabak penyakit koronavirus (Covid-19) serta peningkatan kes wabak ini sehari demi sehari di seluruh dunia, kita tiada pilihan untuk terus percaya dan meyakini usaha pihak berkuasa dalam menangani wabak itu.

Pun begitu, masih ramai yang menyanggah kerana tidak puas hati, marah, tidak selesa serta tidak serasi dengan kepentingan mereka menyebabkan ramai yang tidak ambil peduli setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib.

Sebetulnya hampir setiap zaman, manusia diuji dengan wabak penyakit. Menurut University of Pennsylvania Archives & Records Centre, pada tahun 1918 hingga 1919, hampir satu pertiga daripada populasi seluruh dunia mengalami wabak penyakit Spanish Flu atau Selsema Sepanyol. Pada ketika itu, terdapat 500 juta orang telah terkena wabak tersebut hingga menyebabkan 50 juta kematian.

Seperti juga hari ini, masih tiada vaksin pada masa itu. Wabak virus ini bermula di Sepanyol di mana 80 peratus rakyatnya telah dijangkiti wabak tersebut.

Walaupun wabak penyakit ini telah menular ke seluruh dunia, namun apa yang dikesali pihak berkuasa negeri Philadelphia masih mahu meneruskan perhimpunan patriotik bagi memperkenalkan bon kerajaan kepada rakyat untuk tujuan menampung kos peperangan dunia pertama.

Walhal seminggu sebelum perhimpunan tersebut iaitu pada 19 September 1918 sudah terdapat jangkitan virus oleh tentera laut yang baru balik daripada peperangan dunia pertama di negara-negara Eropah. Dalam beberapa hari sahaja, virus itu menjangkiti 600 tentera laut di Philadelphia.

Pun begitu, perhimpunan tersebut tetap diteruskan dan dihadiri seramai 200,000 orang. Kesannya 12,000 orang telah mati dalam tempoh enam minggu menerusi 47,000 kes jangkitan yang dilaporkan.

Dalam tempoh enam bulan, 16,000 orang telah mati dan telah menjangkiti setengah juta daripada 1.7 juta penduduk Philadelphia.

Kesan yang lebih besar, seramai 675,000 penduduk negara Amerika Syarikat telah mati dan menjangkiti 22 juta penduduk pada masa itu. Ini bermakna, besar sungguh harga yang perlu dibayar kerana ‘degil’ dengan arahan yang telah dikeluarkan sebelum itu oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Hakikatnya fenomena yang sama masih berlaku pada hari ini. Apa yang jelas dua perkataan iaitu ‘Ingkar’ dan ‘Sanggah’ masih lagi menebal dalam menghadapi isu ini.

Ya benar, pihak berkuasa ada ketikanya melakukan kesilapan dalam memberikan arahan untuk menangani wabak ini. Namun, kesilapan itu tidak boleh dielak kerana berlakunya perubahan jangkaan dan dapatan maklumat daripada masa ke masa.

Apa yang jelas, kerajaan China pun pernah silap dalam mencaturkan gerakan membasmi wabak penyakit ini, begitu juga dengan kerajaan Korea, Itali, Iran serta beberapa buah lagi. Pun begitu, kesilapan tersebut diperbetulkan daripada masa ke masa.

Namun, apa yang lebih penting sokongan dan kerjasama daripada masyarakat.

Akhirnya negara China yang dahulunya dihina kerana tersilap serta terlalu keras pendekatannya dalam mengekang wabak ini telah hampir berjaya membebaskan negara mereka daripada wabak berkenaan, malah menjadi penyumbang pula kepada negara-negara lain yang sedang bergelumang dengan wabak ini.

Pada hemat saya, gelombang kedua wabak Covid-19 di negara kita seumpama sebuah kapal yang telah bocor.

Tidak mustahil kebocoran ini akan bertambah besar sekiranya kita dilanda gelombang ketiga Covid-19.

Buat masa sekarang, berhentilah sekejap untuk berdegil, berasa bijak dan berasa sempurna. Kita perlu akur dan bertabah dengan segala arahan.

Banyakkan berdoa untuk negara kita Malaysia khususnya dan negara-negara seluruh dunia umumnya.

Apa yang jelas, daripada perhabiskan masa mengutuk dan menyumpah sana-sini bahawa itu bodoh dan ini bangang, adalah lebih baik kita gunakan kebijaksanaan kita itu untuk menyebarkan sebanyak mungkin berita-berita benar yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Cukuplah menyebarkan perkara yang tidak sahih. Diam itu lebih baik.* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus