RM50,000 taja sarapan petugas kesihatan: Rosol

Sebanyak RM50,000 diperuntukkan Ahli Parlimen Hulu Terengganu bagi tujuan pembelian sarapan untuk petugas di Hospital Hulu Terengganu dan lima klinik kesihatan di daerah itu. - Foto Bernama
Sebanyak RM50,000 diperuntukkan Ahli Parlimen Hulu Terengganu bagi tujuan pembelian sarapan untuk petugas di Hospital Hulu Terengganu dan lima klinik kesihatan di daerah itu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA BERANG - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid meluluskan peruntukan segera sebanyak RM50,000 bagi tujuan pembelian sarapan pagi untuk petugas di Hospital Hulu Terengganu dan lima klinik kesihatan di daerah itu.

Rosol berkata, mulai esok, pihaknya akan membekalkan sarapan selama 12 hari kepada kira-kira 600 petugas yang menghadapi kesukaran mendapatkan sarapan memandangkan semua kantin serta kedai makan di kawasan sekitar ditutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).

"Semua petugas kesihatan di Hospital Hulu Terengganu dan lima klinik kesihatan terpaksa bersengkang mata bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Oleh sebab semua kedai tutup kerana mematuhi arahan sekatan, mereka menghadapi masalah mendapatkan sarapan pagi dan saya berasa bertanggungjawab untuk membantu mereka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tambah Rosol, sumbangan itu adalah daripada peruntukan sebagai Ahli Parlimen Hulu Terengganu dan diharap dapat meringankan sedikit beban petugas kesihatan yang menjadi barisan hadapan dalam kerja-kerja pencegahan penularan wabak itu.

"Pada masa sama saya minta lebih ramai syarikat korporat tampil menghulurkan apa saja jenis bantuan untuk membantu mereka yang banyak berkorban untuk rakyat," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: