Dr Mahathir bantah tindakan pecat Marzuki

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad membantah tindakan memecat Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.

Dr Mahathir yang merupakan bekas Perdana Menteri berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak sah malah bertentangan dengan perlembagaan parti itu.

Menurutnya, berdasarkan perlembagaan, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya berunding dengan pengerusi parti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Fasal 13.9 dan 16.3.3 Perlembagaan Bersatu (Pindaan 2019) memperuntukkan kuasa dan tugas kepada presiden parti untuk melantik setiausaha agung, bendahari agung dan ketua penerangan (pegawai-pegawai).

"Namun demikian, kuasa dan tugas presiden dalam melantik pegawai-pegawai tinggi parti tersebut di atas adalah tertakluk kepada syarat selepas berunding dengan pengerusi parti," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Muhyiddin di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Marzuki dipecat sebagai Setiausaha Agung Bersatu

Surat itu dihantar susulan daripada tindakan Muhyiddin yang telah memecat Marzuki sebagai setiausaha agung parti itu serta-merta.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, maksud dan aplikasi berunding dalam konteks itu bukan hanya setakat presiden perlu memaklumkan kepada pengerusi tetapi mesti melakukan perbincangan yang bersungguh-sungguh dalam urusan melantik pegawai-pegawai tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sungguhpun Perlembagaan Bersatu (Pindaan 2019) tidak menyatakan dengan jelas akan kaedah bagi presiden untuk memberhentikan pegawai-pegawai tersebut.

"Seksyen 18c Akta Pertubuhan 1966 dan Fasl 29 Perlembagaan Bersatu (Pindaan 2019) memberikan kuasa sepenuhnya kepada Parti Bersatu Menafsir Perlembagaan sendiri," katanya.

Tambah beliau, tafsiran munasabah dan memenuhi semangat dan niat Fasal 13 dan Fasal 16.3.3 Perlembagaan Bersatu (Pindaan 2019) adalah kaedah sama dalam melantik pegawai-pegawai tersebut dan terpakai dalam urusan pemberhentian mereka.

Katanya, presiden mestilah berunding dengan presiden parti sebelum apa-apa tindakan atau keputusan pemberhentian boleh dibuat.

"Dalam situasi pemberhentian Marzuki itu daripada jawatannya oleh Muhyiddin tiada sebarang rundingan telah dilakukan dengan saya selaku pengerusi parti. Ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Bersatu," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyatakan bantahan dan tidak bersetuju terhadap cadangan Muhyiddin untuk melantik Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai setiausaha agung yang baharu.