Covid-19: Perbicaraan MH17 bersambung 23 Mac

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR- Perbicaraan jenayah empat lelaki yang menghadapi tuduhan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 di Mahkamah Rendah The Hague akan bersambung pada 23 Mac ini seperti yang dijadualkan tetapi dengan kehadiran terhad.

Menurut laman web Mahkamah Rendah The Hague, mahkamah di Belanda baru-baru ini mengumumkan, semua perbicaraan akan ditangguhkan kecuali bagi perbicaraan yang penting akan diteruskan berikutan wabak koronavirus (Covid-19).

“Hari ini, Mahkamah Rendah akan mengumumkan bahawa sesi mahkamah yang seterusnya bagi perbicaraan MH17 (pada 23 Mac 2020) akan diteruskan tetapi dengan kehadiran yang terhad.

Hanya seorang pendakwa raya berbanding tiga orang sebelum ini serta mahkamah tidak membenarkan pihak media atau orang awam hadir.

Ini bermakna keluarga terdekat tidak boleh menghadiri sesi mahkamah di JCS (Kompleks Kehakiman Schiphol di Amsterdam) atau hadir di bangunan NBC di Nieuwegein. Bagaimanapun penstriman secara langsung akan terus aktif dan boleh diakses oleh semua di https://www.courtmh17.com/en/live-stream.html,” menurut laman web itu.

Ia juga menyatakan semasa sidang mahkamah pada 23 Mac, hakim dijangka membuat beberapa keputusan dan akan turut menyediakan alasan mereka.

“Sesi mahkamah (23 Mac) kemungkinan besar akan menjadi hari terakhir mahkamah bagi blok ini. Blok berikutnya akan bermula pada 8 Jun 2020,” menurutnya.

Pada 9 Mac, prosiding jenayah terhadap empat lelaki melibatkan tiga warganegara Rusia - Igor Girkin, Sergey Dubinsky, Oleg Pulatov dan seorang warganegara Ukraine Leonid Kharchenko bermula di Mahkamah Rendah The Hague di JCS.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun tidak seorang pun hadir di mahkamah dan mahkamah membuat keputusan keempat-empat defendan dibicarakan tanpa kehadiran mereka di bawah undang-undang Belanda.

Mereka menghadapi tuduhan menyebabkan penerbangan MH17 terhempas, mengakibatkan kematian semua orang di dalam pesawat itu, yang boleh dihukum mengikut Perkara 168 Kanun Jenayah Belanda, dan membunuh 298 orang di dalam pesawat, yang boleh dikenakan hukuman menurut Perkara 289 Kanun Jenayah Belanda.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara 30 tahun tanpa parol atau peluang untuk dilepaskan lebih awal.

Hakim, Hendrik Steenhuis yang mengetuai perbicaraan itu bersama dua lagi hakim iaitu Dagmar Kosters dan Helen Kersterns-Fockens pada 10 Mac lepas menangguhkan perbicaraan itu ke 23 Mac.

Sumber daripada Pasukan Penyiasatan Bersama Malaysia (JIT) ketika dihubungi berkata pasukan JIT dari sini tidak akan hadir pada 23 Mac berikutan penularan wabak Covid-19.

“Tetapi kedutaan kita akan berada di sana dan kami juga sering berhubung dengan pejabat pendakwa raya Belanda,” kata sumber itu.

Hakim, Steenhuis dalam pernyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan memulakan prosiding dengan menjelaskan fungsi mahkamah, tanggungjawab pihak pendakwaan dan pembelaan serta latar belakang kes itu.

Hakim itu antara lain berkata selepas pesawat Boeing 777 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, keluarga mangsa, sehingga kini masih sukar untuk mempercayai tragedi itu.

“Dan keadaan senyap sunyi di dalam bilik (mahkamah) ini apabila nama-nama mereka yang terkorban dibacakan, jelas menunjukkan setiap mereka yang duduk di sini, hilang dalam pemikiran mereka,” katanya.

Hakim berkata demikian selepas pendakwa raya, Dedy Woei-A-Tsoi selesai membacakan satu demi satu nama 298 mangsa yang terkorban selepas pesawat Penerbangan MH17 itu ditembak jatuh di ruang udara di timur Ukraine.-Bernama